am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Tukang masak dan penganggur masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memperdagangkan dua individu yang juga rakyat Malaysia di Myanmar.
Tertuduh, Wong Jun Wei, 26, dan Jasper Yap En Wai, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan, Jun Wei dan En Wai didakwa memperdagangkan seorang lelaki dan wanita warga Malaysia berusia 26 tahun dan 34 tahun bagi tujuan eksploitasi kerja dengan cara penipuan.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 15 Disember 2024 hingga 14 Februari lalu di Yatai, Shwekokko, Myanmar.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukan mereka amat serius serta tidak boleh diikat jamin.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan serta menetapkan 7 April untuk sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.
Pada 17 Mac lalu, polis menahan seorang daripada 25 rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar susulan siasatan mendapati dia dipercayai berperanan merekrut warga tempatan untuk sindiket berkenaan.
Tertuduh adalah antara yang dibawa pulang ke tanah air pada 12 Mac lalu, melalui usaha Kementerian Luar dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, baru-baru ini berkata, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan selepas polis melakukan tapisan dan soal siasat terhadap kesemua mangsa yang dibawa pulang menerusi bas dari Wilayah Tak, Thailand.
Katanya, tertuduh ditahan selepas siasatan berdasarkan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI), yang menunjukkannya dipercayai terbabit dalam memperdaya rakyat Malaysia untuk sindiket itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




