KOTA BHARU: Dua pemain muda Sabah FC, Ariusdius Jais dan Evan Wensley bakal menyertai Kelantan United FC (KUFC) pada jendela perpindahan pemain bagi memperkuatkan pasukan itu dalam mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Pengarah Eksekutif Kelantan United FC Sdn Bhd, Anas Karimi Ahmad Thani berkata mereka yang masing-masing bermain di posisi pertahanan kiri dan sayap diserapkan dalam pasukan berkenaan secara pinjaman selama enam bulan.
“Mereka berdua antara bakat muda daripada skuad pembangunan Sabah yang berjaya menembusi skuad senior sejak 2018, selain turut merangkul kejuaraan Liga Perdana bersama Sabah pada 2019.
“Bersama pasukan Sabah kedua-dua pemain ini kurang diberi peluang untuk beraksi berikutan terpaksa bersaing dengan pemain lain,” katanya ketika dihubungi semalam.
KUFC kendalian jurulatih dari Jepun Akira Higashiyama ketika ini berada di kedudukan kelima selepas 11 perlawanan dengan mengumpul 16 mata hasil lima kemenangan, satu seri dan lima kekalahan.
Mengulas lanjut, Anas Karimi berkata kehadiran Ariusdius dan Evan, masing-masing berusia 23 tahun, akan membolehkan barisan jurulatih mempunyai banyak pilihan pemain pada baki perlawanan Liga Perdana
“Saya amat berterima kasih kepada pihak pengurusan The Rhinos kerana segala perbincangan berjalan baik seperti dirancangkan,” katanya sambil berharap kerjasama ini sebagai permulaan untuk pihaknya memperluas kerjasama dengan pasukan lain pada musim akan datang.
Beliau berkata kedua-dua pemain berkenaan akan tiba esok dan menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum menyertai pemain lain.
“Saya percaya mereka berkeupayaan bersaing merebut tempat dengan pemain sedia ada seterusnya membantu kami pada saat penting terutamanya apabila liga kembali bersambung dengan jadual padat pada pertengahan Jun depan,” katanya.
– BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




