Pembentukan personaliti menurut psikologi Islam

KETIKA berbahas mengenai faktor yang membentuk personaliti, terdapat 3 aliran utama di dalam psikologi:

1. Aliran Emperisme

Aliran ini berpandangan bahawa manusia lahir dalam keadaan neutral dan tidak membawa apa-apa potensi. Oleh itu, personaliti dicorakkan oleh lingkungan sosialnya.

2. Aliran Nativisme

Aliran ini pula berpandangan sifat bawaan dari keturunan adalah penentu utama personaliti seseorang ia disebut sebagai heredityHeredity adalah sifat-sifat yang diwarisi dari ibu bapa kepada anak-anaknya. 

3. Aliran Konvergensi

Aliran ini menggabungkan kedua-dua pandangan Emperisme dan Nativisme, interaksi antara faktor luaran dan heredity membentuk personaliti seseorang. Menurut aliran ini, heredity tidak akan berkembang tanpa rangsangan dari faktor luaran. Begitu juga sebaliknya, rangsangan luaran tidak akan dapat membina keperibadian yang ideal tanda didasari faktor heredity

Advertisement

Ketiga-tiga aliran mempunyai kelemahan dan dilihat berorientasikan Antroposentrisme. Seakan-akan perkembangan personaliti manusia hanya dibentuk oleh unsur manusiawi. Sedangkan di dalam Islam, manusia merupakan makhluk yang diciptakan Allah dengan potensi yang mencakupi nilai keimanan, ketauhidan, keikhlasan dan kecenderungan menerima kebenaran. 

Manusia bukanlah robot yang diprogram secara kaku, tetapi dikurniakan fitrah untuk menentukan diri sendiri. Al-Quran merekodkan banyak ayat yang memberi peluang kepada manusia untuk membuat pilihan sendiri termasuk memilih sama ada tetap bersama jalan kebenaran atau kejahatan:

“Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?”

(al-Balad: 10)

Psikologi Islam turut mengakui adanya peranan lingkungan dalam menentukan personaliti seseorang, tuntutan dakwah menunjukkan manusia saling mempengaruhi antara satu sama lain. Adapun faktor-faktor bawaan pula merupakan takdir Allah kepada manusia, di antaranya memegang amanah sebagai khalifah dan mentauhidkan Allah. Jika dari sudut bakat dan minat pula, Allah nyatakan yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (mengenai harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(an-Nisa’:32)

Secara mudahnya dapat kita fahami bahawa personaliti manusia tidak bersifat kaku dan boleh berubah mengikut pilihan kita sendiri dan tidak terikat dengan faktor lingkungan atau bawaan. Potensi-potensi fitrah yang dianugerahkan oleh Allah merupakan rangsangan bagi kita untuk membentuk personaliti yang baik dan bermanfaat. 

AINA MOKHTAR
28 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 28/5/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.