20 premis diberi notis dalam Ops Air Kosong 8.0

KUANTAN – Sebanyak 20 premis menjual makanan dan minuman di Kuantan diberi notis dalam Ops Catut 8.0 Air Kosong selama sembilan hari oleh Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang (KPDNHEP).

Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, operasi bermula 7 April lalu akan berakhir  pada 15 April ini, dilaksanakan berdasarkan Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Menurut Mark, pihaknya mengesan dan membuat pemeriksaan aktiviti pencatutan kenaikan harga minuman di restoran dan kedai makan yang tinggi, tidak munasabah serta membebankan pengguna.

“Sebanyak 20 premis diperiksa dan telah diberi notis dalam operasi kali ini. Hasil pemerikasaan ada peniaga meletakkan harga air kosong dari 30 sen sehingga 50 sen.

“Barangan yang diperiksa dalam Ops Catut 8.0 ialah air kosong, air suam, ais kosong, Nescafe tarik panas, dan teh tarik panas.

“Pelbagai kategori premis diperiksa, antaranya adalah restoran mewah, restoran biasa, restoran makanan segera, restoran francais dan kedai makan termasuk warung,” katanya.

Dalam pada itu,  KPDNHEP Pahang juga melaksanakan Ops Catut 8.0 Bahan Binaan bagi mengesan kenaikan harga.

“Bahan binaan di peringkat Pengilang yang diperiksa seperti pasir, besi bar keluli lembut, Simen OPC Bag 50kg dan Simen OPC Bulk.

“Kos tersebut memberi kesan kepada kenaikan harga rumah dan juga penyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat,” tambah beliau.

Sehingga Mac 2021, KPDNHEP Pahang telah memeriksa 32 premis serta mengeluarkan 12 notis dalam Ops Catut 8.0 Bahan Binaan.

Peniaga-peniaga yang menerima notis ini diberi tempoh masa selama dua hingga lima hari bekerja untuk membekalkan maklumat yang diminta. – MalaysiaGazette