200 sensor pantau kesihatan pokok di sekitar KL

KUALA LUMPUR: Sebanyak 200 sensor akan dipasang pada pokok di kawasan bandar bagi membolehkan keadaan kesihatan pokok dipantau secara masa nyata dan tindakan segera diambil sekiranya dikesan berbahaya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, pemasangan sensor itu merupakan langkah penambahbaikan selepas sebanyak 25,000 pokok dipetakan dalam Fasa 1 menerusi peruntukan daripada Kementerian Digital.

Beliau berkata, proses pemetaan berkenaan membolehkan DBKL mengenal pasti pokok yang berada dalam keadaan sihat dan kurang sihat.

Katanya, sensor berkenaan akan dipasang kira-kira 1.2 meter dari aras tanah sebelum disambungkan dengan pusat kawalan.

“Bagi penambahbaikan, kita akan meletakkan sekurang-kurangnya 200 sensor pada pokok untuk memantau keadaan kesihatan pokok secara masa nyata di pusat kawalan kita.

“Pusat kawalan itu akan memberikan indikator kepada kita supaya kita dapat mengetahui sama ada pokok itu berada dalam keadaan berbahaya atau sihat. Sekiranya berbahaya, kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Langkah berkenaan bagi memastikan pokok yang memerlukan tindakan pembaikan atau tindakan lain dapat dikenal pasti terlebih dahulu di kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ambil Angkat Taman Tugu, di sini hari ini. Majlis dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Fadlun berkata, pemantauan itu turut melibatkan pokok-pokok lama termasuk di Jalan Ampang yang telah hidup sekian lama.

“Kita akan mengambil tindakan terkini dengan menyokong dahan-dahan yang mempunyai potensi untuk jatuh sekiranya masih dalam keadaan baik.

“Kita mahu memastikan pokok-pokok tersebut terus dipelihara dan tidak ditebang begitu sahaja.

“Bagi Fasa 2, sebanyak 200 pokok lagi akan ditanam, manakala peruntukan melalui inisiatif bajet tahun hadapan akan diminta bagi menambah 400 pokok di kawasan bandar sahaja,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top