25 laluan utama di ibu negara ditutup sempena Merdeka Half Marathon

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 25 laluan utama sekitar ibu negara akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat sempena penganjuran Merdeka Half Marathon 2026 di Padang Merbok, di sini, esok.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, penutupan jalan dijangka bermula seawal jam 3.30 pagi bagi memastikan kelancaran program serta keselamatan peserta dan pengguna jalan raya.

Katanya, program anjuran Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan itu dijangka disertai kira-kira 6,000 peserta termasuk atlet tempatan dan antarabangsa.

“Acara larian akan dipertandingkan dalam tiga kategori utama, iaitu Half Marathon 21 kilometer (km) yang bermula pada jam 4.30 pagi, larian 10 km pada jam 6.15 pagi dan Fun Run 5 km pada jam 7.15 pagi.

“Jalan yang terbabit akan dibuka semula secara berperingkat selepas peserta selesai melalui laluan berkenaan, tertakluk kepada situasi semasa serta arahan pegawai polis yang bertugas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara 25 laluan yang terbabit ialah Jalan Raja, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Raja Chulan, Jalan Perak, Jalan P. Ramlee dan Jalan Ampang.

“Turut terbabit Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Putra, Jalan Tun Ismail, Jalan Tunku, Bulatan Langgak Tunku, Jalan Langgak Tunku, Jalan Dalaman Tunku, Jalan Girdle, Jalan Persiaran Bukit Tunku, Bulatan Tunku, Jalan Bukit Tunku, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Dato’ Onn, Bulatan Dato’ Onn dan Jalan Parlimen,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zamzuri menasihatkan orang ramai dan pengguna jalan raya mengelakkan penggunaan jalan yang terbabit sepanjang tempoh program bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Katanya, pengguna juga diminta merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif bersesuaian serta mengutamakan pengangkutan awam atau perkhidmatan e-panggilan.

“Pengguna turut diminta mematuhi arahan anggota polis dan petugas trafik di lokasi serta mengamalkan sikap pemanduan berhemah, bertolak ansur dan bersabar sepanjang tempoh penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau memerlukan maklumat lanjut berkaitan penutupan dan lencongan jalan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top