mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 11,124 permohonan anak tempatan yang bekerja di luar negara dibuat menerusi Program Kepulangan Pakar (REP) sejak 2011.
Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim Chee Keong berkata, REP adalah salah satu inisiatif di bawah platform MyHeart yang dilaksanakan kementeriannya menerusi TalentCorp bagi menarik bakat tempatan yang berada di luar negara untuk kembali ke Malaysia.
“Salah satu program utama adalah REP, di mana sejak tahun 2011 sehingga Jun 2024, program ini menerima 11,124 permohonan dan berjaya membawa pulang 2,011 bakat ke tanah air.
“REP menawarkan pelbagai insentif seperti pengecualian cukai pendapatan pada kadar 15 peratus, pengecualian cukai ke atas barangan peribadi, pengecualian duti eksais kenderaan sehingga RM100,000 serta kemudahan untuk memperoleh status pemastautin tetap (PR) bagi pasangan dan anak-anak,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen Malaysia.
Beliau menjawab pertanyaan Chow Yu Hui (PH- Raub) mengenai statistik migrasi rakyat Malaysia setiap tahun serta perancangan Kesuma untuk menarik semula bakat tempatan kembali menyumbang kepada pembangunan Malaysia.
Mengulas lanjut, Steven berkata, platform MyHeart juga menyediakan peluang pekerjaan dengan menghubungkan diaspora Malaysia dengan syarikat terkemuka seperti Petronas, Shell dan PwCbagi memudahkan golongan itu mencari peluang pekerjaan sesuai di Malaysia sebelum mereka pulang.
“Tambahan lagi, melalui acara MyHeart Career and Facilitation Fest (MyHeart CaFe), jaringan langsung diwujudkan antara diaspora dan majikan di Malaysia.
“Sejak 2022, program ini menarik 1,499 diaspora dan menawarkan 1,981 peluang pekerjaan.
“Dalam aspek keusahawanan pula, inisiatif MyHeart Innovate menyokong diaspora yang berminat memulakan perniagaan di Malaysia dengan menyediakan bimbingan serta akses kepada dana dengan kohort pertama membabitkan 10 usahawan luar negara menyertai program ini pada Ogos 2024,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




