JAKARTA – Kesesakan teruk yang melumpuhkan laluan Situbondo-Banyuwangi mencapai kemuncaknya pada petang Khamis apabila puluhan pemandu lori muatan berat mengadakan bantahan dan menyekat pintu masuk Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi.
Menurut laporan Liputan6.com, tindakan itu tercetus susulan rasa kecewa pemandu yang terperangkap dalam kesesakan hampir 24 jam.
Sejak jam 4 petang waktu Indonesia Barat (WIB), para pemandu meninggalkan lori logistik masing-masing yang berbaris panjang di jalan raya sebelum menduduki kawasan hadapan pelabuhan yang dihalang dengan palang.
Berdasarkan tinjauan di lokasi, kesesakan itu mencecah 15 kilometer, sekali gus menjadi keadaan paling teruk dalam krisis trafik yang berlaku berterusan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Wakil pemandu, Mukhlisin mendakwa, petugas pelabuhan bersikap ‘pilih kasih’ dengan terus mengutamakan bas penumpang, kenderaan persendirian dan lori diesel kecil berbanding lori treler atau kenderaan muatan berat.
Tempoh menunggu untuk menyeberang mencecah hampir 24 jam, menyebabkan pemandu mengalami keletihan melampau, kurang tidur serta peningkatan kos operasi kerana terpaksa bermalam di jalan raya.
“Bantahan ini merupakan tindakan spontan sebagai tanda solidariti antara pemandu kenderaan logistik tanpa arahan persatuan atau campur tangan pihak luar kerana kami sudah terlalu letih menunggu giliran untuk masuk,” katanya pada Khamis.
Para pemandu menuntut pengurusan PT ASDP Indonesia Ferry mengeluarkan surat pernyataan dan persetujuan bertulis rasmi yang menjamin pengagihan giliran menunggu secara berkadar.
“Kami mendesak ASDP supaya segera menyusun semula sistem pengurusan giliran secara adil,” katanya.
Menurut Mukhlisin, sekiranya pengurusan perkhidmatan penyeberangan tidak dinilai semula, kesesakan penghantaran bekalan barangan antara pulau dijangka semakin melumpuhkan kegiatan ekonomi serantau.
