Saya hadir kerana sepina tetapi disuruh pulang tanpa dipanggil beri keterangan – Madinah

Saya hadir kerana sepina tetapi disuruh pulang tanpa dipanggil beri keterangan – Madinah

Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad menafikan dakwaan bahawa beliau meminta untuk memasuki bilik prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Timbalan Pengarah Audit Kewangan Jabatan Audit Negara ketika itu, Dr Mona Othman.

Saya hadir kerana sepina tetapi disuruh pulang tanpa dipanggil beri keterangan – Madinah

Foto: Free Malaysia Today

Sebaliknya, Madinah menjelaskan kehadirannya pada prosiding berkenaan adalah atas faktor menerima sepina untuk memberikan keterangan kepada anggota RCI pada tarikh yang telah ditetapkan.

“Saya hadir kerana sepina yang diterima tetapi disuruh pulang tanpa dipanggil memberi keterangan dalam prosiding di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) pada tarikh ditetapkan mereka,” kata bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Beliau berkata, kenyataan Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussin yang juga anggota RCI berhubung isu kehadirannya pada prosiding itu adalah tidak tepat.

Menurut Madinah, Dr Mona hanya berada bersamanya di luar bilik prosiding sebagai persediaan sekiranya beliau memerlukan bantuan berkaitan maklumat teknikal mengenai isu TH.

“Tidak tepat kenyataan itu kerana saya tidak pernah minta untuk hadir dalam bilik prosiding bersama Dr Mona sebaliknya Dr Mona hanya ‘standby’ di luar sekiranya ada soalan berkaitan bentuk teknikal.
“Tidak pernah saya minta untuk masuk ke dalam bilik prosiding bersama Dr Mona. Ketika itu (petugas) sekretariat keluar daripada bilik prosiding dan memaklumkan saya tidak perlu masuk dan meminta saya balik.
“Sekiranya benar tak boleh bawa Dr Mona masuk, mengapa tak dimaklumkan kepada saya dan hanya saya disuruh pulang. Apabila saya tanya mengapa? Beliau menyatakan tidak pasti,” katanya, semalam.

Madinah turut mengesahkan beliau menerima sepina bagi memberikan keterangan kepada anggota RCI dan hadir pada prosiding yang ditetapkan pada 3 Jun 2022 berdasarkan arahan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau mengulas mengenai peluang yang diberikan RCI untuk mengemukakan jawapan bertulis terhadap 75 soalan yang dikemukakan.

Menurutnya, jawapan secara bertulis tidak seharusnya dianggap sebagai pengganti kepada peluang memberikan penjelasan secara lisan di hadapan RCI.

“Memang saya ada beri afidavit tetapi tidak boleh menggantikan hujah lisan. Mereka perlu dengar apa yang saya perlu katakan,” katanya.

Sebelum ini, Madinah dilaporkan menjelaskan bahawa perbezaan RM4.8 bilion antara dapatan Jabatan Audit Negara dan penilaian PricewaterhouseCoopers (PwC) terhadap TH tidak boleh dianggap sebagai bukti kegagalan Jabatan Audit Negara.

Beliau berkata, perbezaan angka tersebut perlu dilihat berdasarkan beberapa faktor termasuk mandat, skop, tempoh rujukan serta kaedah penilaian yang digunakan oleh kedua-dua pihak.

Menurutnya, perbezaan berkenaan juga tidak bermaksud Jabatan Audit Negara terlepas pandang terhadap kerugian atau PwC membuat penilaian yang terlebih tinggi.

Sebaliknya, angka yang berbeza boleh diperoleh apabila sesuatu penilaian dibuat menggunakan asas dan kaedah yang tidak sama.

Artikel lain: RCI Tabung Haji: Madinah sedia lapor pihak berkuasa jika terbukti berlaku kecurian

Madinah berkata, Jabatan Audit Negara menjalankan pengauditan berdasarkan mandat statutori, peruntukan undang-undang serta undang-undang dan piawaian perakaunan yang berkuat kuasa ketika penyata kewangan berkenaan disediakan.

“Atas sebab itu, tidak wajar perbezaan itu terus dijadikan kesimpulan kredibiliti Jabatan Audit Negara terjejas atau seluruh pengauditan oleh Jabatan Audit Negara selama ini perlu dipertikai.
“Kerja audit perlu dinilai berdasarkan undang-undang, mandat dan piawaian yang berkuat kuasa pada ketika ia dilaksanakan. Menilai audit terdahulu menggunakan piawaian atau pendekatan yang muncul kemudian adalah tidak wajar,” tambahnya lagi.

Sumber: Berita Harian (Suzalina Halid)

Scroll to Top