26 pemain dipanggil jalani latihan pusat B-19

26 pemain dipanggil jalani latihan pusat B-19

Skuad B-19 negara yang menjuarai Kejuaraan AFF B-19 2022. – foto fb FAM

SERAMAI 26 pemain dipanggil bagi mengikuti sesi latihan pusat skuad bawah 19 tahun (B-19) bermula 1 September depan, sebagai persediaan bagi mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia B-20 2023 di Ulaanbaatar Mongolia yang dijadualkan berlangsung mulai 14 hingga 18 September 2022.

Daripada senarai berkenaan, seramai 17 pemain yang membantu skuad B-19 negara memenangi Kejuaraan B-19 AFF 2022 Indonesia15 Julai lalu dikekalkan manakala 10 lagi pemain daripada skuad yang muncul naib juara Kejohanan B-19 Thanh Nien 2022 di Vietnam, 11 Ogos lalu.

Untuk rekod, enam pemain Syahmi Adib, Danish Irfan, Muhammad Izrin, Adli Ahamad, Muhammad Ubaidullah dan Aizat Aiman telah beraksi dalam kedua-dua kejohanan tersebut.

Sementara itu, seramai 12 pemain diletakkan dalam senarai bersedia sekiranya terdapat perubahan berlaku kelak.

Pada aksi kelayakan berkenaan, skuad B-19 negara beraksi dalam Kumpulan E dan bakal berdepan tuan rumah, Mongolia pada 14 September, Sri Lanka (16 September) dan Republik Korea Utara (18 September) di Stadium MFF, Ulaanbaatar.