Moga jambatan Pengkalan Kubor ke Tak Bai jadi kenyataan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kerajaan Kelantan berharap projek pembinaan jambatan sempadan antarabangsa kedua yang menghubungkan Pengkalan Kubor, Tumpat dengan Tak Bai, Thailand dapat dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Izani Husin berkata, projek itu diharap tidak terhenti setakat kerja awalan sahaja.

Katanya, kerajaan negeri komited untuk terus memberikan kerjasama dan sokongan bagi memastikan projek itu dapat dipertimbangkan ke peringkat pelaksanaan fizikal demi kepentingan rakyat serta pembangunan kawasan sempadan Kelantan–Thailand.

“Kerja awalan pembinaan jalan dan jambatan baru yang menghubungkan Pengkalan Kubor dengan Tak Bai sudah diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), dengan kos sebanyak RM8 juta.

“Keseluruhan skop kerja awalan yang meliputi Kajian Impak Trafik (TIA), Penilaian Awal Impak Alam Sekitar (IEIA), Penilaian Awal Impak Sosial (ISIA), reka bentuk konsep, kerja ukur tanah, siasatan tapak (SI) serta reka bentuk awalan sudah disempurnakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian mengenai status kemajuan pelan perancangan pembinaan jambatan sempadan antarabangsa kedua yang menghubungkan Pengkalan Kubor, Tumpat dengan Tak Bai, Thailand yang dikemukakan oleh Mohd Rusli Abdullah (PAS- Wakaf Bharu) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, tadi.

Dr Izani berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) pada masa ini, berada di peringkat akhir penyediaan laporan akhir untuk dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Kerja awalan itu bertujuan menentukan lokasi sebenar jambatan baru Malaysia–Thailand serta jajaran jalan baru sebelum pelaksanaan kerja fizikal dimulakan.

“Sehingga kini, tiada makluman rasmi daripada Kerajaan Persekutuan berhubung kekangan teknikal, isu keselamatan sempadan atau halangan diplomatik dua hala berkaitan projek berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top