SHAH ALAM: Tindakan memetik ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung kedudukan kaum di negara ini mengundang pertikaian dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Preakas Sampunathan (PH-Kota Kemuning) dalam perbahasan Rancangan Selangor Kedua (RSK2) mengulangi ungkapan Muhammad Sanusi yang menyentuh kedudukan kaum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu.
“Memang Menteri Besar Kedah tidak kata orang Cina dan India di Malaysia tanah mereka adalah Tanah Melayu. Apa yang dia cakap, orang Cina ada China orang India ada India (negara).
”Apa maksud tersiratnya? Tersiratnya, Tanah Melayu bukan milik kaum Melayu, kami hendak balik ke mana? Ini Malaysia, negara saya, negara kita,” katanya.
Perbahasan tersebut kemudian dipertikai oleh Sallehan Mukhyi (PN-Sabak Bernam) yang memohon kepada Speaker, Lau Weng San untuk mencelah sebelum merujuk kepada Perkara 36(1) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.
“Speaker, peraturan tetap 36(1). Saya hendak tanya adakah itu berkaitan dengan isu yang sedang dibincangkan berkaitan dengan RSK2,” katanya ketika mencelah.
Bagaimanapun, Weng San meminta Preakas meneruskan perbahasan selepas menyatakan isu yang dibangkitkan itu mempunyai sedikit kaitan berkenaan dengan perpaduan dalam RSK2.
Malah, beliau juga mengarahkan Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) supaya duduk selepas cuba mempertikai isu yang dibawa oleh Preakas ketika perbahasan tersebut berlangsung.
Preakas kemudian memaklumkan, naratif politik yang berorientasikan identiti perkauman oleh mana-mana pemimpin seharusnya ditolak kerana menjadikan kebencian sebagai modal.
“Itu adalah isu yang selalu digunakan untuk memecah-belahkan kita, mendiskriminasi suatu kaum. Kita dapat lihat di Negeri Sembilan sekarang langsung tidak ada wakil daripada kaum India, itu adalah tanda kehilangan perpaduan di negara kita.
“Masa depan Malaysia kini mesti dibina atas perpaduan, keadilan dan saling menghormati,” ujarnya.
Pada Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan Kenyataan orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu bukan bertujuan mempersoalkan kewarganegaraan atau hak rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India.
Menteri Besar Kedah itu sebaliknya berkata, ucapannya di Jempol pada 23 Julai lalu merujuk kepada hubungan sejarah orang Melayu dengan Tanah Melayu, selain kebimbangannya terhadap kedudukan politik dan ekonomi masyarakat berkenaan. – UTUSAN

