am@hmetro.com.my
Kuantan: Polis mengesahkan tiga individu termasuk seorang wanita warga asing yang ditahan di dalam ladang durian milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) di Raub pada 2 Ogos lalu, mencuba nasib untuk mengutip hasil tanaman itu.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mereka memasuki ladang terbabit secara haram dan siasatan mendapati mereka sebelum itu bekerja di ladang berkenaan.
Menurutnya, mereka bertindak memasukinya untuk mengambil buah milik PKPP.
“Dalam kes ini, kita menasihati orang ramai termasuk mereka yang sebelum ini bekerja di ladang supaya menghormati undang-undang dan tidak mengambil buah-buahan itu.
“Bagaimanapun, ada individu yang mencuba nasib untuk memasuki ladang iaitu tanah kerajaan,” katanya ditemui media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Yahaya berkata, polis bersama agensi penguatkuasaan lain termasuk Pejabat Daerah dan Tanah serta Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) meningkatkan pemantauan di ladang itu.
“Ops Sekat sedang berjalan dan polis akan menyelaraskan penguatkuasaan bersama agensi lain untuk menghalang orang ramai daripada memasuki tanah kerajaan.
“Kita meminta semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Rayuan bulan lalu,” katanya.
Sementara itu, Yahaya berkata, seramai 48 individu termasuk 24 warga asing ditahan dalam Ops Sekat dijalankan sepanjang tempoh dari April hingga hari ini.
Pada 2 Ogos lalu, tiga individu dilaporkan ditahan kerana menceroboh ladang durian di Kampung Tras, Raub selepas seorang penolong pengurus PKPP membuat laporan.
Bagaimanapun, mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan direkodkan dan disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan
Pada 19 Julai lalu, seramai 131 petani durian Musang King dari Raub gagal untuk mendapatkan kebenaran mengakses ke ladang yang diusahakan selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




