am@hmetro.com.my
Pasir Gudang : Tiga pekerja asing ditemukan lemas selepas bot yang mereka naiki dipercayai hanyut dan terdampar di perairan Tanjung Langsat di sini, hari ini.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Sarhan Akmal Mohamad berkata, insiden itu disedari jam 11.18 malam semalam, selepas tiga pekerja sebuah syarikat di Felda Semenchu gagal pulang.
Katanya, mereka sepatutnya pulang menaiki bot gentian kaca ke bandar Masai melalui laluan laut.
“Kehilangan mereka diketahui selepas bot digunakan ditemui tersadai di pantai Tanjung Langsat oleh nelayan tempatan, yang kemudian membuat laporan polis.
“Pada 12.19 pagi, Pengawal Pantai Polis Singapura (SPCG) mengesahkan penemuan satu mayat di perairan Changi, Singapura yang kemudian dikenal pasti sebagai lelaki warga Nepal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sarhan Akmal berkata, pasukan bomba menerima satu lagi panggilan kecemasan jam 10.53 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang digerakkan ke lokasi kejadian.
“Operasi dijalankan menggunakan bot aluminium dengan pencarian di sekitar Kebayan, Tanjung Langsat dan jeti berdekatan.
“Hasil operasi, dua lagi mangsa ditemukan iaitu pada jam 11 pagi membabitkan seorang lagi warga Nepal yang ditemukan oleh SPCG di Pulau Tekong, Singapura.
“Pada jam 3.34 petang, mayat seorang warga Indonesia, ditemukan oleh Polis Bantuan Tanjung Langsat Port, kira-kira 50 meter dari Jeti Port Park Tanjung Langsat,” katanya.
Operasi tamat pada jam 5.25 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




