30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (3)

30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (3)

HIKMAH 3:

أجهَلُ الناس مَنْ ترك يقين ما عنده لظنِّ ما عند الناس

“Orang paling jahil adalah mereka yang meninggalkan perkara yakin pada dirinya dengan sangkaan pada orang lain.”

Maksud:

1. Perkara yakin pada dirinya ialah dosa, aib, maksiat yang dilakukan yang hanya dia sendiri tahu. Orang lain tidak tahu.

2. Sangkaan pada orang lain ialah kebaikan berdasarkan apa yang orang nampak dari luaran kita. Orang puji dan sangka baik.

3. Jangan sangka kita sudah jadi orang baik hanya kerana orang anggap kita baik. Banyak lagi aib yang tuhan sembunyikan dari orang, yang hanya kita sendiri tahu. Sentiasalah muhasabah, bertaubat dan jangan sombong dengan pandangan manusia.

Ibrah Ramadan:

Ramadan bulan maghrifah, bulan taubat. Imam Qurtubi menjelaskan maksud Ramada (رمض) ialah panas yang membakar dosa. Sabda Rasulullah S.A.W:

من صام رمضان إيماناً واحتساباً غفر له ما تقدم من ذنبه

“Barangsiapa berpuasa bulan Ramadan penuh keimanan dan ikhlas, diampunkan baginya dosa-dosa sebelum ini.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Justeru rebutlah peluang untuk menghitung segala dosa yang dilakukan sebelum ini dan mohon supaya Allah ampunkan.

Jangan terpedaya dengan kedudukan kita di sisi manusia. Hanya Allah dan kita sendiri yang tahu diri kita yang sebenar.

ALANG IBN SHUKRIMUN
3 Ramadhan 1444
25 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 25/3/2023

The post 30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (3) appeared first on HarakahDaily.