PETALING JAYA: Seramai 331 individu ditahan menerusi Op Soga XI di seluruh negara bagi membanteras kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian sempena kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.
Operasi bermula 11 Jun hingga 19 Julai lalu itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, sebanyak 293 serbuan dijalankan membabitkan penahanan 312 lelaki dan 19 wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian.
“Daripada jumlah itu, 234 merupakan warga tempatan manakala 97 lagi warga asing. Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM145,005 selain mengesan nilai pertaruhan keseluruhan sebanyak RM2,625,529,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, sebanyak 185 laman sesawang termasuk laman web, platform, aplikasi dan akaun media sosial dikesan digunakan bagi menjalankan aktiviti pertaruhan bola sepak serta mempromosikan perjudian.
Susulan itu, katanya, tindakan menyekat laman web dan menurunkan kandungan berkaitan akan dilaksanakan dengan bantuan MCMC.
“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah berkaitan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pertaruhan 1953 melibatkan beberapa kesalahan termasuk berjudi, menjadi pengutip pertaruhan, mengurus premis perjudian serta mempromosikan aktiviti perjudian,” katanya.
Dalam masa sama, warga asing yang ditahan turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana dipercayai melakukan kesalahan berkaitan dokumen perjalanan dan permit.
“Siasatan turut diperluaskan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi mengesan rangkaian serta aliran kewangan sindiket,” katanya. – UTUSAN




