Lelaki didakwa pukul nenek dengan tukul hingga parah

Lelaki didakwa pukul nenek dengan tukul hingga parah

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memukul neneknya sehingga parah menggunakan tukul besi dalam kejadian di Kampung Kuala Abang, Dungun, pada 19 Jun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Nor Iman Abdullah, 24, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap neneknya, Gayah Omar, 79, menggunakan tukul besi yang jika digunakan sebagai senjata boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Lot 707, Kampung Baru Kuala Abang, kira-kira jam 6.30 petang, 19 Jun lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohammad.

Mahkamah menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan warga emas terbabit parah di kepala selepas dipukul cucunya yang berang selepas dipercayai dihalang keluar rumah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top