JOHOR BAHRU – Demi menyelami dan memahami keluhan rakyat mengenai keadaan jalan, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, hari ini menyahut cabaran memandu kereta jenis Perodua MyVi dari Kampung Melayu Tebrau ke Ulu Tiram.
Cabaran memandu sendiri ‘King of the Road’ itu bagi membolehkan Maszlee merasai pengalaman ‘melambung’ di laluan beralun serta kesesakan trafik yang menghimpit penduduk sejak sekian lama.
Bekas Menteri Pendidikan itu meluangkan masa memandu dan meninjau keadaan trafik serta kualiti jalan raya bermula dari Kampung Melayu Tebrau sehingga ke Ulu Tiram, bagi memahami rintihan penduduk setempat yang sering dibangkitkan di media sosial.
“Kita bermula dari Petron Kampung Melayu melalui Pandan, Kangkar Tebrau sehingga ke Ulu Tiram sebelum berpatah balik menuju ke bandar bagi menyahut cabaran netizen yang meminta saya menaiki Myvi untuk merasai sendiri keadaan jalan.
“Memang betul apa yang mereka katakan (jalan tidak sekata) dan rasanya seperti menaiki bot di Tanjung Surat, beralun-alun dan terhentak-terhentak akibat keadaan jalan,” katanya ketika berkunjung ke Bilik Operasi Bernama sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini hari ini.
Maszlee berkata, pengalaman melalui laluan beralun itu membolehkannya merasai sendiri keadaan kenderaan yang ‘melambung’ dan terhentak di beberapa lokasi, selain terpaksa berdepan kesesakan serius terutama pada waktu puncak.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, isu infrastruktur berkenaan bukan perkara remeh dan optimis ia mampu diselesaikan melalui perancangan bandar yang lebih teliti serta kerjasama rentas agensi.
“Saya nampak perkara ini boleh diperbaiki, tetapi ia memerlukan kerjasama erat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), perancang bandar dan pelbagai pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, kesesakan di kawasan seperti Taman Daya, Taman Pelangi Indah dan beberapa lokasi sekitar Tebrau berpunca daripada pembangunan pesat yang tidak diseimbangkan dengan penambahbaikan kapasiti jalan raya sedia ada.
Katanya, penyelesaian isu tersebut memerlukan perancangan jangka panjang dan libat urus yang aktif bersama masyarakat setempat.
“Saya pernah berada di peringkat pusat dan kementerian, jadi saya faham bagaimana proses untuk menangani perkara-perkara seperti ini,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya diberi mandat, pendekatan yang akan diambil ialah mendengar pandangan rakyat terlebih dahulu sebelum mengenal pasti keutamaan dan mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah dibangkitkan penduduk.
Pada PRN kali ini, kerusi DUN Puteri Wangsa menyaksikan pertandingan lima penjuru melibatkan Maszlee, Rashifa Aljunied (MUDA), Teow Chia Ling (Barisan Nasional), Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia) dan Wang Wee Siong (Bebas).
DUN Puteri Wangsa mempunyai 128,723 pemilih berdaftar yang merangkumi 128,525 pengundi biasa serta 198 pengundi anggota polis dan pasangan.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai. – Bernama
N41: PUTERI WANGSA: 128,723
1. Nicholas Paul Vincent (Bersama)
2. Wang Wee Siong (Bebas/IND)
3. Dr Maszlee Malik (PH-PKR)
4. Rashifa Aljunied (MUDA)
5. Teow Chia Ling (BN-MCA)
(2022: Amira Aisya Abd Aziz: MUDA: Maj: 7,114)



