Anggota bomba didakwa pandu secara cuai langgar kanak-kanak perempuan

Anggota bomba didakwa pandu secara cuai langgar kanak-kanak perempuan

Bachok: Seorang anggota bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga melanggar seorang kanak-kanak perempuan pada 3 Januari lalu.

Pengakuan Mohammad Shuhaili Shuib, 46, direkodkan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova dengan cuai telah melanggar kanak-kanak perempuan berusia empat tahun sehingga mendatangkan kecederaan parah di kawasan parkir Sri Chalet Nipah, di sini, pada jam 10.45 pagi, 3 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala lelaki itu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Habil Zainal Abidin.

Muhammad Aiman Syahmi menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 namun Muhammad Habil merayu jumlah itu dikurangkan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top