am@hmetro.com.my
Kuantan: Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini, dimaklumkan bahawa sebanyak 34 ajaran sesat dikenal pasti di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata bagi individu yang disiasat dan terbabit dengan ajaran sesat, kerajaan negeri memberikan kaunseling dan kesedaran.
“Selain itu individu itu diberikan diberikan amaran dan teguran supaya balik ke pangkal jalan supaya tidak terbabit secara serius dan melarat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Cheka) yang bertanyakan jumlah ajaran sesat di Pahang.
Terdahulu, menjawab soalan Datuk Rosli Jabar (PAS-Tanjung Lumpur) yang bertanyakan perkembangan isu GISB Holdings (GISBH) di Pahang, Syed Ibrahim berkata, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pahang memutuskan GISBH adalah sebagai menyeleweng dan sesat.
Pada 5 Oktober lalu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Syarak negeri itu bahawa pengikut GISBH sama ada pekerja atau mana-mana orang Islam adalah menyeleweng dan sesat.
Golongan yang disebut sebagai menyeleweng dan sesat itu jika mereka meneruskan kepercayaan serta amalan dalam Aurad Muhammadiah dibawa oleh al-Arqam, yang diwartakan sesat dan menyeleweng pada 1994.
Fatwa itu mencakupi golongan yang disebut mempercayai bahawa Ashaari Muhammad yang sudah meninggal dunia pada 2010 tidak mati, sebaliknya ghaib.
Bahawa keputusan itu meliputi apa-apa versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran-ajaran terbabit di atas dan termasuklah apa-apa pegangan, ideologi, falsafah atau mana-mana kumpulan yang wujud atau akan diwujudkan.
Sistem ekonomi yang dibangunkan oleh pengikut GISBH tidak diiktiraf sebagai ekonomi Islam dan tidak menepati syarak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




