Kes pelaburan RM1.1 bilion: SPRM mohon bantuan AGC peroleh keterangan individu di Taiwan, UK

Kes pelaburan RM1.1 bilion: SPRM mohon bantuan AGC peroleh keterangan individu di Taiwan, UK

Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mendapatkan Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance – MLA) bagi memperoleh keterangan beberapa individu di Taiwan dan United Kingdom (UK) untuk membantu siasatan kes pelaburan RM1.1 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata pihaknya telah berhubung dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan bantuan berkenaan susulan siasatan yang turut melibatkan bidang kuasa dua negara terbabit.

Beliau berkata proses itu diperlukan bagi membolehkan keterangan dan maklumat daripada individu terlibat diperoleh secara sah mengikut peraturan serta undang-undang antarabangsa.

“Kes ini mungkin akan memakan masa sedikit dari segi penyiasatan memandangkan ia melibatkan dua bidang kuasa yang berbeza, kita perlu melalui peraturan, undang-undang dan sebagainya. Jadi siasatan mungkin memakan masa,” katanya kepada Bernama selepas melakukan lawatan kerja ke pejabat SPRM Selangor di sini hari ini.

Ia merupakan lawatan kerja pertama beliau sejak memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 13 Mei lepas.

Abd Halim berkata SPRM setakat ini telah merakam keterangan 26 individu termasuk Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli serta bekas pembantunya Chai Jin Shern.

Mengulas lanjut, beliau berkata urusan dokumentasi bagi bahan-bahan bukti untuk kes berkenaan sedang dijalankan termasuk dokumen yang diserahkan oleh Rafizi.

“Dokumen daripada beliau kami terima dan di dalam analisis serta pertimbangan kita.

“Itu juga akan kami pertimbangkan, walaupun beliau hantar secara sukarela, kita terima dan kita akan pertimbangkan,” katanya.

SPRM membuka kertas siasatan kes itu pada 16 Februari lepas susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited dari UK dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top