4 bulan sejak rampasan kuasa, tentera Myanmar masih gagal ‘matikan’ protes

4 bulan sejak rampasan kuasa, tentera Myanmar masih gagal ‘matikan’ protes

Penunjuk perasaan menunjukkan lambang tiga jari tanda protes ketika demonstrasi di Yangon, bulan lalu. (Gambar AP)

YANGON: Penunjuk perasaan prodemokrasi Myanmar membuat bantahan di beberapa daerah pada Selasa, dalam pada pertempuran antara tentera dan militia antijunta berterusan di kawasan sempadan, empat bulan selepas rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan negara itu.

Walaupun tentera Myanmar bertindak keras terhadap penunjuk perasaan, ia masih gagal mengawal keadaan selepas menangkap Aung San Suu Kyi dan pemimpin kanan partinya, yang mencetuskan protes serta mogok di seluruh negara.

Di selatan Myanmar, penunjuk perasaan antitentera mengadakan perarakan di Laung Lone, dengan gambarnya disiarkan akhbar Irrawaddy di media sosial.

Sementara itu, di hab perdagangan Yangon, sekumpulan penunjuk perasaan yang majoritinya belia berhimpun di daerah Kamayut seperti dilihat dalam gambar disiarkan portal berita Myanmar Now.

Penunjuk perasaan di kawasan bandar semakin licik untuk mengelak pasukan keselamatan dengan menggunakan ‘flash mob’ atau protes kecil-kecilan yang tidak diumumkan awal, susulan perhimpunan lebih besar sering dibalas tembakan peluru hidup oleh pasukan keselamatan.

Konflik selama berdekad-dekad antara tentera dan pejuang kumpulan minoriti etnik di sempadan turut tercetus kembali sejak rampasan kuasa berkenaan.

Militia etnik bergabung dengan kerajaan bayangan awam dan mempertingkatkan serangan terhadap tentera, yang membalas dengan keras termasuk serangan udara seterusnya memaksa ribuan orang melarikan diri.

Rakaman telefon bimbit diperolehi daripada seorang penduduk di Kayah yang bersempadan dengan Thailand seperti menunjukkan artileri ditembak di ibu negeri, Loikaw, 14.5km ke arah Demoso, di mana pasukan People’s Defence Force telah menyerang askar.

Penduduk Loikaw berkata 50 tembakan dilepaskan pada Isnin dan enam pada Selasa.

Karenni Nationalities Defence Force, militia yang aktif di Kayah berkata di Facebook mereka, 80 tentera kerajaan terbunuh pada Isnin manakala seorang pejuangnya serta seorang awam turut maut.

Perkara itu tidak dapat disahkan Reuters, dan jurucakap junta juga tidak dapat dihubungi untuk mengulasnya.

Recent Posts

Scroll to Top