4 perkara diteliti dalam MTPMA63

4 perkara diteliti dalam MTPMA63

mdroji@bh.com.my

Kuching: Kerajaan Persekutuan sedang memperincikan empat agenda penting berkaitan Sabah dan Sarawak, termasuk pertambahan kerusi Parlimen, isu pelancongan, pelantikan hakim serta pengurusan alam sekitar khususnya sisa berjadual.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu adalah hasil daripada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang diadakan hari ini.

Beliau berkata, daripada empat agenda itu, dua telah dipersetujui secara dasar iaitu berkaitan sisa berjadual, pindaan terhadap Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan di Parlimen, dijangka pada Disember ini.

“Pindaan itu bakal memberi kuasa kepada Sabah dan Sarawak untuk menguruskan sisa pepejal dan lain-lain isu berkaitan alam sekitar yang dipersetujui,” katanya pada sidang media selepas MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Fadilah berkata, perkara kedua yang dibincangkan berhubung pelantikan hakim di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan kini melaksanakan proses pentadbiran yang mewajibkan konsultasi dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak sebelum sebarang pelantikan dibuat.

“Proses ini turut membabitkan Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah, sebelum cadangan pelantikan diangkat dan mengikut prosedur.

“Pindaan Perlembagaan untuk mengukuhkan proses ini juga sudah dipersetujui dan akan dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun, bagi isu pelancongan dan penambahan kerusi Parlimen, Fadillah berkata, perbincangan masih diteruskan berikutan terdapat pelbagai sudut pandangan berbeza antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Dalam isu pelancongan, perbezaan terletak kepada penempatan kuasa dalam perlembagaan, sama ada ia wajar kekal sebagai kuasa Persekutuan atau dimasukkan dalam senarai kuasa bersama.

“Dari sudut pentadbiran, tidak ada masalah, namun secara perundangan kita perlu perhalusi kerana pelancongan dan alam sekitar adalah perkara baharu yang tidak disebut dalam senarai asal semasa Perlembagaan digubal,” katanya.

Berhubung pertambahan kerusi Parlimen, Fadillah memaklumkan bahawa isu itu masih di peringkat dasar kerana wujud perbezaan pandangan antara Peguam Besar Persekutuan dan Peguam Besar negeri-negeri Borneo.

“Secara prinsip, Perdana Menteri bersetuju perkara ini boleh dipertimbangkan, namun tertakluk kepada perundingan dan perincian lanjut.

“Keputusan dasar perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menjalankan kajian,” katanya.

Menurutnya, sebarang pertambahan kerusi Parlimen memerlukan pindaan Perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen, berbanding pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang hanya memerlukan kelulusan peringkat negeri.

Dalam masa sama katanya, beberapa isu lain termasuk berkaitan pendidikan, kesihatan dan kebajikan juga sudah dibincangkan dan sebahagian besar daripadanya telah dipersetujui secara dasar.

“Setakat ini, 13 perkara sudah selesai dan akan dibentangkan semula di peringkat jawatankuasa teknikal sebelum dibawa kepada Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top