4 tahun berlalu, hasrat 3 beradik ziarah pusara ibu masih belum terlaksana

4 tahun berlalu, hasrat 3 beradik ziarah pusara ibu masih belum terlaksana

am@hmetro.com.my

Taiping: Empat tahun berlalu tapi belum berkesempatan ziarah kubur ibu. Demikian nasib dialami tiga beradik yatim piatu, Nur Alia Farhana Khairul Adlan, 17, serta dua adiknya, Nurul Huda, 14 dan Nurul Husna, 12.

Ketiga-tiga beradik itu kini dijaga ibu saudara, Nurshahira Adnan, 25, yang kini tinggal di Kampung Pinang, Kamunting.

Menurut Nur Alia Farhana, mereka kehilangan bapa pada 13 tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.

Menurutnya dugaan datang lagi apabila ibu mereka Zuraida Abdul Kadir, 28, meninggal pula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), empat tahun lalu, akibat tekanan darah tinggi.

“Setiap kali menyambut bulan puasa, kami sedih. Orang lain ada mak, ayah, boleh sahur dan berbuka bersama-sama tapi kami?

“Kakak rindukan mak, rindu masakan mak dan teringat nasi goreng kampung yang menjadi menu kesukaan kami.

“Namun kami sedih kerana masih belum berkesempatan menziarahi kubur mak kerana kekangan kewangan,” katanya ditemui media di Hotel Taiping Perdana di sini.

Mereka bertiga antara 17 anak yatim dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di kawasan Taiping yang diraikan dalam majlis berbuka puasa anjuran hotel itu.

Nur Alia Farhana yang yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun ini berkata, apabila rindu kedua ibu bapa, mereka bertiga akan menziarahi kubur bapa mereka di sini.

Sementara itu, Nurshahira berkata, arwah kakak iparnya meninggal di Kuantan, Pahang, ketika PKP.

“Apabila mereka rindukan kedua orang tua, saya selalu berpesan kepada mereka untuk solat dan terus berdoa dan yang paling saya terkilan apabila mereka menyatakan hasrat untuk menziarahi kubur ibu mereka di Pahang.

“Namun belum ada rezeki dan kami tak ada ‘modal’ lagi nak ke sana dan insya-Allah saya akan tunaikan hajat mereka, jika ada rezeki,” katanya.

Tambahnya, dia dan suami, Muhammad Firdaus, 26, mengambil alih tugas ibu dan bapa bagi membesarkan tiga beradik itu.

Dia hanya suri rumah, manakala suami pekerja kontrak (bekerja dengan orang) dan hanya bergantung pada bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM 400 sebulan bagi menjaga tiga beradik itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top