40 penuntut UUM terkandas banjir di Hatyai

40 penuntut UUM terkandas banjir di Hatyai

am@hmetro.com.my

Sintok: Seramai 40 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) termasuk empat pensyarah pengiring terkandas sementara di Hatyai, Thailand susulan banjir kilat yang melanda bandar itu.

Mereka adalah kumpulan dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) yang berada di negara jiran bagi menyertai Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata pihak universiti memberi jaminan kebajikan dan keselamatan semua pelajar serta pensyarah terbabit menjadi keutamaan.

Katanya, mereka sepatutnya dijadualkan pulang hari ini selepas dua hari menyertai program itu di sana.

“UUM sedang memantau keadaan dari semasa ke semasa dan berhubung rapat dengan Konsulat Malaysia di Hatyai bagi memastikan semua bantuan yang diperlukan dapat disalurkan segera.

“Setakat ini, semua pelajar dan pensyarah dilaporkan selamat, dan penyelarasan sedang dilakukan bagi memastikan urusan program dan perjalanan pulang dapat diteruskan sebaik keadaan kembali pulih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan keluarga pelajar serta staf supaya bertenang dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan insiden berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top