hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Lima kedai musnah terbakar dalam kejadian di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kota Damansara di sini, hari ini.
Kebakaran turut membabitkan lima kenderaan yang diletakkan di kawasan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.06 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.
“Kebakaran membabitkan lima kedai makan yang musnah terbakar sepenuhnya.
“Lima kenderaan turut terbakar iaitu sebuah Proton Saga terbakar 20 peratus, Proton Wira (60 peratus) dan tiga motosikal masing-masing musnah terbakar 50 peratus.
“Kebakaran dapat dikawal pada 6.24 petang dan kerja pemadaman sedang dijalankan. Operasi turut mendapat bantuan anggota dari BBP Damansara, BBP Petaling Jaya dan BBP Hartamas,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Katanya, operasi membabitkan seramai 28 anggota dan tiga Fire Rescue Tender (FRT), tiga Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), tiga Rapid Intervention Motorcycle’ (RIM) serta sebuah jentera tangki air.
Bagaimanapun, setakat ini tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




