Empat Langkah Padu MPKK, Koperasi ‘Onz’ Hadapi Krisis Bekalan Global

Empat Langkah Padu MPKK, Koperasi ‘Onz’ Hadapi Krisis Bekalan Global

Dalam suasana dunia yang makin tak menentu, isu bekalan global terus jadi topik hangat. Konflik di beberapa rantau besar dunia beri kesan langsung kepada harga dan rantaian bekalan dan Malaysia pun tak terkecuali. Tapi di sebalik cabaran ni, gerakan koperasi tempatan nampaknya tak duduk diam.

Terbaharu, Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) yang dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah tampil dengan empat cadangan utama yang dilihat mampu memperkukuh peranan koperasi dalam membantu rakyat berdepan situasi semasa.

Mesyuarat yang berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat itu menghimpunkan pelbagai pihak penting termasuk wakil kerajaan negeri, agensi, industri serta pemain koperasi sendiri. Ini menunjukkan betapa seriusnya usaha ini digerakkan.

Cadangan pertama yang mencuri perhatian adalah usaha untuk memperluaskan penggunaan diesel dan petrol bersubsidi kepada koperasi. Inisiatif ini dilihat sangat relevan, khususnya bagi menyokong operasi harian koperasi seperti logistik, penghantaran dan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.

Kenderaan seperti trak pikap, penjana kuasa dan bot penumpang antara yang dicadangkan untuk menerima manfaat ini. Dengan lebih 300 kenderaan koperasi dijangka terlibat, langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos operasi, malah berpotensi mengekalkan harga barangan dan perkhidmatan agar kekal mampu milik untuk pengguna.

Dalam masa yang sama, MPKK turut mencadangkan perluasan penglibatan CoopMart sebagai rakan niaga dalam Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Melalui inisiatif ini, rakyat boleh mendapatkan barangan keperluan asas hanya dengan menggunakan kad pengenalan di kedai koperasi yang terlibat. Setakat ini, hampir 240 koperasi telah menjadi sebahagian daripada jaringan tersebut, dengan sasaran untuk menambah 500 lagi.

Langkah ini bukan sahaja memudahkan rakyat, malah membuka peluang kepada koperasi untuk meningkatkan jualan serta memperluaskan capaian mereka di seluruh negara.

Tidak hanya fokus kepada ekonomi semasa, MPKK juga melihat keperluan untuk membina generasi usahawan masa depan. Justeru, cadangan pelaksanaan program “Business School in School” diperkenalkan bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah tentang asas perniagaan.

Menariknya, hampir 70 peratus daripada 2,623 CoopMart sedia ada beroperasi di dalam sekolah, menjadikan platform ini sangat sesuai untuk tujuan pembelajaran praktikal. Penglibatan pelajar dalam program ini juga akan diiktiraf dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), selain diberikan pensijilan oleh Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia.

Seiring dengan perkembangan teknologi dan trend membeli-belah dalam talian, MPKK turut mengusulkan agar koperasi berperanan sebagai pusat pengambilan sendiri (self collection point) bagi platform e-dagang seperti Shopee.

Inisiatif ini membuka ruang kepada koperasi untuk menjana pendapatan tambahan melalui perkhidmatan kutipan bungkusan, di samping meningkatkan trafik pelanggan ke premis mereka. Tahun ini, sebanyak 100 premis koperasi disasarkan untuk menyertai inisiatif ini, dengan sebahagian daripadanya sudah pun beroperasi atau dalam proses saringan.

Selain empat cadangan utama ini, mesyuarat tersebut turut menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan pemain industri dalam sektor tenaga serta sawit.

Kerjasama ini bakal membuka peluang kepada koperasi untuk menceburi perniagaan stesen minyak, termasuk pengurusan stesen mini di kawasan luar bandar. Dalam sektor sawit pula, koperasi pekebun kecil akan diperkasa melalui pendekatan jualan berkelompok dan penglibatan dalam aktiviti hiliran, sekali gus meningkatkan pendapatan anggota.

Dalam perkembangan berkaitan, usaha ke arah memperkukuh tadbir urus koperasi juga terus dipergiatkan melalui pembangunan kerangka koperasi patuh syariah atau i-CORES. Inisiatif ini melibatkan kerjasama dengan institusi akademik dan penyelidikan, selari dengan agenda ekonomi negara yang menekankan aspek kemampanan dan etika.

Secara keseluruhannya, gerakan koperasi di Malaysia sememangnya bukan kecil. Sehingga hujung tahun 2025, terdapat lebih 16,000 koperasi berdaftar dengan keanggotaan mencecah 7.3 juta orang. Dengan jumlah aset sebanyak RM186.7 bilion dan perolehan lebih RM81 bilion, jelas bahawa koperasi memainkan peranan besar dalam landskap ekonomi negara.

Apa yang dapat dilihat, langkah-langkah yang dicadangkan oleh MPKK ini bukan sekadar reaktif terhadap krisis semasa, tetapi juga bersifat strategik untuk jangka panjang.

Dalam dunia yang semakin mencabar, koperasi berpotensi menjadi antara tulang belakang ekonomi komuniti bukan sahaja membantu rakyat bertahan, tetapi juga membuka peluang untuk terus maju.


Scroll to Top