5 negeri pintu masuk PATI: Lokasi pendaratan ikut maklumat risikan

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Lokasi penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) sentiasa berubah mengikut modus operandi sindiket dan maklumat risikan semasa.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, oleh sebab itu, APMM tidak menumpukan kepada satu lokasi tertentu sahaja, sebaliknya mengamalkan konsep ‘intelligence-led enforcement’ dalam melaksanakan rondaan berasaskan analisis risiko dan maklumat risikan terkini.

“Pendekatan ini membolehkan aset Maritim Malaysia digerakkan secara lebih dinamik untuk menutup ruang dan peluang yang cuba dieksploitasi oleh sindiket penyeludupan migran.

“APMM melaksanakan pemantauan secara bersepadu dan berterusan terhadap pulau-pulau terpencil yang dikenal pasti berisiko menjadi lokasi transit atau pangkalan operasi sindiket penyeludupan PATI,” katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Mohd Rosli berkata, kedudukan geografi pulau terpencil yang jauh dari penempatan utama, mempunyai kawasan pendaratan yang terlindung serta sukar dipantau secara langsung menjadikannya antara sasaran utama sindiket untuk menjalankan aktiviti penyeludupan PATI.

“Bagi memastikan kawalan lebih berkesan, APMM mengaplikasikan pendekatan berasaskan teknologi pengurusan laut moden melalui penggunaan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang mampu mengesan dan memantau pergerakan bot atau vesel yang mencurigakan.

“Penggunaan teknologi ini membolehkan pemantauan dilaksanakan secara masa nyata terhadap kawasan berisiko tinggi termasuk laluan sering digunakan oleh sindiket penyeludupan PATI.

“Selain itu, APMM turut menjalankan rondaan laut dan udara secara berkala menggunakan aset kapal peronda, bot pemintas laju serta pesawat udara bagi mengesan sebarang aktiviti pendaratan haram di pulau-pulau terpencil,” katanya.

Beliau berkata, maklumat risikan yang diperoleh melalui pemantauan lapangan akan dianalisis bagi mengenal pasti corak pergerakan, lokasi pendaratan baharu serta modus operandi terkini yang digunakan oleh sindiket penyeludupan PATI.

“Selain rondaan laut dan udara, penggunaan aset pengawasan serta operasi khas di kawasan berisiko tinggi, APMM turut memperluaskan jaringan kerjasama maklumat dengan komuniti maritim melalui pelaksanaan Program Sahabat Maritim di pulau-pulau dan kawasan pesisir pantai yang strategik.

“Program ini bertujuan mewujudkan kerjasama erat antara APMM dengan komuniti maritim setempat seperti nelayan, pengusaha bot, penduduk pulau dan pemain industri maritim agar mereka berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ APMM dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan, kehadiran bot asing, pendaratan PATI serta pergerakan sindiket penyeludupan,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, APMM memperkukuh jaringan perisikan maritim melalui kerjasama strategik dengan agensi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta komuniti maritim tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top