June kecewa Polong versi 'director's cut' tidak ditayangkan

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, June Lojong, 48, meluahkan rasa terkilan apabila filem Polong versi asal tanpa potongan (director’s cut) di bawah garis panduan baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak dapat ditayangkan di pawagam semula.

Menerusi hantarannya di Facebook, June atau Junainah M Lojong, menjelaskan dia tidak mempunyai masalah jika filem terbabit ditayangkan menerusi platform penstriman digital, bagi memberi peluang kepada penonton yang terlepas menyaksikannya di pawagam.

Bagaimanapun, June kecewa apabila versi asal yang lengkap tanpa sebarang tapisan bagi filem itu tidak sempat menemui penonton di layar perak terlebih dahulu.

“Saya tidak marah kalau Polong keluar di Netflix, biarlah penonton yang terlepas di panggung menonton sepuasnya di sana. Tetapi saya kecewa kerana versi ‘uncut’ tidak sempat ditayangkan di pawagam,” tulisnya.

Mengulas lanjut, June yang membawa watak sebagai Maria Hadi dalam filem berkenaan, berkata, pengumuman FINAS berhubung kebenaran filem berklasifikasi 18 untuk ditayangkan tanpa potongan sepatutnya menjadi platform terbaik buat naskhah itu kembali merancakkan pawagam.

“FINAS sudah umumkan bahawa filem berklasifikasi 18 boleh ditayangkan tanpa potongan. Itu sebenarnya peluang besar untuk Polong kembali ke layar dengan versi ‘director’s cut.’

“Polong berpotensi menjadi antara filem terawal yang diulang tayang semula dengan versi ‘director’s cut’ di bawah garis panduan terbaru Skim Wajib Tayang FINAS,” tulisnya lagi.

Dalam pada itu, June turut mempersoalkan tindakan pihak terbabit yang dianggap terlalu terburu-buru memasukkan filem berkenaan ke platform digital.

“Namun apabila filem sudah masuk ke Netflix, secara automatik ia tidak lagi boleh ditayangkan semula di panggung.

“Saya percaya Polong akan sampai ke Netflix juga, tetapi bukan dalam masa terdekat. Jadi kenapa perlu terburu-buru?” luahnya.

Sebelum ini, pengarah filem berkenaan, Zulkarnain Azhar memaklumkan perancangan untuk menghasilkan filem Polong versi ‘director’s cut’ dan sekuel Polong 2 dibatalkan sepenuhnya.

Pengumuman itu dikongsikan Zulkarnain menerusi satu hantaran di Facebook, yang menyifatkan keputusan berkenaan dibuat demi mempertahankan integriti dalam seninya.

Bagaimanapun, Zulkarnain menasihati peminat agar tidak berputus asa dan meminta mereka menantikan kemunculan karya seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top