lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak lima trak bantuan kemanusiaan dari Malaysia dihantar ke Gaza melalui sempadan Rafah, susulan perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel.
Pengurus Kanan Projek Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Halim Sakrani berkata, jumlah itu membabitkan empat trak membawa 80 tan tepung dan satu trak membawa 1,000 pek makanan bernilai RM 360,000.
Menurutnya, rakan badan bukan kerajaan (NGO) Al-Khyr melaporkan dua trak yang membawa 40 tan tepung berjaya masuk ke dalam Gaza melalui sempadan Rafah, semalam.
“Semua bantuan ini akan ditempatkan di sebuah gudang di Selatan Gaza dan agihan bantuan dipantau oleh Pengurus Besar MyCARE di Gaza, Dr Ziad Shehada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan pembukaan lintasan Rafah pada Rabu lalu, MyCARE juga mengatur beberapa projek di Gaza melalui dua fasa bermula Oktober 2025 sehingga September 2026 yang diketuai oleh Dr Ziad.
“Keseluruhan projek bernilai RM9 juta akan mengambil masa antara tiga sehingga enam bulan pelaksanaan.
“Tiga bulan pertama fokus kepada projek bantuan segera seperti pek makanan, tempat perlindungan sementara, air minuman bersih dan susu bayi.
“Enam bulan seterusnya bagi projek pemulihan jangka panjang termasuk penyelenggaraan telaga air, telaga air dengan panel suria dan pemulihan prasarana pendidikan,” katanya.
Projek lain yang akan dilaksanakan MyCARE adalah klinik bergerak, selenggara telaga air dengan panel suria, projek bagi rakyat Gaza menjana pendapatan serta projek pemulihan jangka pendek dan jangka panjang bersesuaian dengan keadaan semasa.
Kamarul Halim berkata, MyCARE sudah menyalurkan RM27 juta sejak 7 Oktober 2023 dengan keutamaan 80 peratus bantuan untuk Gaza, manakala selebihnya kepada rakyat Palestin di Baitulmaqdis dan Tebing Barat serta pelarian Palestin di pelbagai negara.
“Sepanjang tempoh itu, MyCARE fokus memberikan bantuan kepada lapan pecahan dan tiga bantuan paling utama adalah keselamatan makanan, pemulihan awal dan kesihatan.
“MyCARE akan terus komited untuk meneruskan usaha kemanusiaan, termasuk menyalurkan bantuan kemanusiaan terutama makanan dan air bersih,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




