500 cerita rakyat Pahang disebarkan ke-42 negara Asia Pasifik

500 cerita rakyat Pahang disebarkan ke-42 negara Asia Pasifik

TEMERLOH: Kira-kira 500 cerita rakyat pelbagai etnik Malaysia dari Pahang akan disebarluaskan ke 42 negara Asia Pasifik bagi mengetengahkan nilai budaya kaum Melayu hasil kerjasama dengan badan budaya dan kesenian di negara terbabit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Komuniti Kesenian dan Budaya Melayu Kebangsaan, Tengku Ahmad Ridhauddin Abdul Razak berkata, kerjasama erat dengan badan budaya negara terbabit antaranya, Indonesia, Jepun, Thailand, China, Australia dan Pakistan bakal menyebarluaskan cerita rakyat negara dan negeri ini ke pentas global.

Menurutnya, cerita rakyat di negara ini memaparkan banyak kata-kata nasihat, teladan, budi dan kesopanan serta susun atur kehidupan masyarakat Melayu yang bertamadun yang boleh dikongsi dengan masyarakat dunia.

“Bagaimanapun kebanyakan cerita-cerita rakyat termasuk lagu-lagu rakyat Pahang sudahpun mendapat tempat di negara itu menerusi buku yang mengandungi 366 cerita rakyat yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris,” katanya ketika ditemui di Chenor semalam.

Tengku Ahmad Ridhauddin yang merupakan anak kelahiran Chenor berkata, sebagai nilai tambah, sebanyak 10 lagu rakyat sudah menembusi 42 negara terbabit melalui cakera padat yang diterbitkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sejak 2002 lagi.

Dalam pada itu katanya, pada 6 Oktober lalu di Kuala Lumpur, beliau mengendalikan Festival Sastera Rakyat menampilkan tokoh budaya dan kesenian Pahang, Datuk Aripin Said yang mengupas keistimewaan cerita rakyat warisan penglipur lara di Pahang pada masa lalu.

“Aripin sudah mengumpul lebih 500 cerita rakyat khususnya dari Pahang yang diterbitkan. Beliau juga mempunyai tujuh album yang mengandu­ngi 50 buah lagu rakyat.

“Beliau (Aripin) menjadi ikon lagu-lagu rakyat yang menyanyi sambil menepuk rebana yang dianggap satu-satunya khazanah seni bangsa yang masih tersisa pada era teknologi digital. Ramai tokoh seni lain sudah tiada ketika ini,” katanya.

Menurutnya, festival dua hari itu turut mengundang murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak, Selangor yang mempersembah cerita rakyat dengan menggunakan dialek sukuan etnik mereka.

Dalam perkembangan ber­kaitan beliau berkata, satu festival khas akan dianjurkan di Kuala Lumpur tahun depan bagi mengumpulkan aktivis cerita dan lagu rakyat dari 42 negara Asia Pasifik di samping undangan khas penggiat budaya budaya negara-negara Eropah. –UTUSAN