5,000 Peminat ‘Sing Along’, Konsert Intifada Rabbani Penuh Emosi & Nostalgia

5,000 Peminat ‘Sing Along’, Konsert Intifada Rabbani Penuh Emosi & Nostalgia

Konsert Intifada Rabbani yang berlangsung di Idea Live Arena, malam tadi berjaya membawa peminat mengimbau kenangan manis era kegemilangan nasyid sejak 90-an hingga ke aliran kontemporari hari ini.

Kumpulan nasyid tersohor itu mencatat sejarah tersendiri apabila tampil dengan persembahan solo terbesar sepanjang 28 tahun penglibatan mereka dalam industri, dengan kehadiran hampir 5,000 penonton.

Konsert yang bermula tepat jam 8.30 malam dan berlangsung selama dua jam itu menampilkan barisan anggota Rabbani iaitu Azadan Abdul Aziz, Asri Ubaidullah, Zulkiflee Azman, Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen, Mohamad Afandi Shahbudin dan Ahmad Shafie.

Selain lantunan harmoni vokal Rabbani, pentas konsert anjuran Universe Gateway itu turut diserikan dengan kemunculan istimewa kumpulan Brothers, penyanyi Yabang serta Aeydan yang mewakili generasi pelapis nasyid.

Menyajikan kelainan, Rabbani mempersembahkan konsert ini dengan konsep yang lebih segar, lengkap dengan pencahayaan moden, paparan multimedia eksklusif dan gubahan muzik baharu.

Lagu ikonik Intifada dibawa dengan susunan muzik terkini yang menekankan mesej perjuangan, kebebasan serta kemanusiaan sejagat. Visual multimedia turut menyentuh bukan sahaja isu Palestin, tetapi juga mesej keamanan dan penyatuan manusia sedunia.

Penonton dipandu untuk bersama-sama menyalakan cahaya telefon bimbit sebagai simbol solidariti global, menjadikan konsert ini lebih daripada sekadar hiburan, tetapi sebuah seruan untuk kedamaian sejagat.

Antara detik paling menyentuh hati ialah segmen tribute khas buat vokalis utama Rabbani, Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. Lagu-lagu popular beliau dipersembahkan semula dengan diselangi montaj dan rakaman eksklusif yang memanggil rasa syahdu penonton.

“Konsert ini adalah hadiah buat peminat yang setia bersama Rabbani sejak 1997. Malam ini kita bukan sahaja mengenang Allahyarham Ustaz Asri, tetapi juga menghidupkan selawat dan menyemarakkan cinta kepada Rasulullah SAW dalam suasana penuh makna,” ujar Azadan mewakili kumpulan itu.

Kemunculan Aeydan, bintang muda yang juga anak kepada anggota Rabbani melengkapkan simbol legasi nasyid merentas generasi. Sementara itu, Brothers selaku legenda era 90-an membawa aura tersendiri, manakala Yabang (Khalifah) menambah kelainan dengan warna vokal uniknya.

Kolaborasi ini menjadi bukti kesinambungan seni nasyid yang mampu merentasi zaman dan genre muzik.

Rabbani memukau peminat dengan deretan lagu popular sepanjang tiga segmen termasuk Assalamualaikum, Cari Pasangan, Anak Soleh, Handzalah, Syahadah, Teman Sejati, Pergi Tak Kembali dan kemuncak dengan Intifada yang diberi sentuhan universal.

Scroll to Top