Mainoo permata kian bersinar buat Man United

Mainoo permata kian bersinar buat Man United

Saya terpaksa menolak beberapa pelawaan rakan untuk menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Manchester United dan Liverpool, malam tadi, kerana anak saya, Rayyan Iman, bersekolah pada hari ini.

Memandangkan perlawanan bermula 10.30 malam dan berakhir 12.30 tengah malam, terlalu lewat untuk dia menonton perlawanan di kedai mamak sama ada di Shah Alam atau Wangsa Maju.

Berikutan kami berkongsi minat sama, saya memilih menonton perlawanan itu di rumah dengan harapan cukup besar iaitu United menang dan Isnin bukan lagi hari yang menghampakan.

Jika di zaman Ruben Amorim sebagai ketua jurulatih, kemungkinan besar Isnin kami penuh tekanan apabila United seri atau lebih malang jika kalah.

Tetapi sejak Michael Carrick menjadi pengurus interim Januari lalu, Isnin bukan lagi hari yang mendebarkan, sebaliknya sering membuatkan kami tersenyum lebar dan berjalan mendabik dada.

Hari ini pun sama, penuh ceria dan kebanggaan apabila United menang 3-2 ke atas Liverpool di Old Trafford. Malah, United menang berganda ke atas musuh ketat itu pada musim ini selepas keputusan 2-1 di Anfield pada Oktober 2025.

Kali terakhir United menang dua kali dengan Liverpool adalah pada musim 2015 iaitu ketika Rayyan Iman baru berusia setahun dan masih tidak mengerti apa apa mengenai bola sepak.

Malam tadi, selepas melihat barisan terbaik dimiliki United manakala Liverpool tanpa beberapa pemain utama termasuk Mohamed Salah, Alisson Becker (penjaga gol) dan penyerang termahal di Britain, Alexander Isak, saya sudah jangka United mampu menang apatah lagi beraksi di tempat sendiri.

Apabila United mendahului 2-0 dalam tempoh 15 minit awal menerusi jaringan Matheus Cunha serta Benjamin Sesko, keyakinan semakin tinggi tetapi pada masa sama, perlu waspada dengan sikap mudah selesa.

Selepas rehat, Sesko yang mengalami kesakitan pada tulang kering akibat berlanggar dengan papan iklan, digantikan oleh pemain sayap kanan, Amad Diallo, yang tidak berada pada prestasi terbaik.

Siapa sangka, Liverpool mendapat dua gol hadiah untuk menyamakan kedudukan 2-2 dalam tempoh 15 minit selepas rehat.

Pertama, hantaran Amad dipintas dan Dominik Szoboszlai merapatkan jurang pada minit ke-47.

Kemudian penjaga gol United, Senne Lammens melakukan kesilapan ketika melakukan hantaran di depan gol, membolehkan Cody Gakpo menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-56.

Daripada situasi selesa dan boleh meraih kemenangan mudah, situasi bertukar menjadi gundah walaupun sebenarnya United boleh menambah beberapa jaringan termasuk kuisan Bryan Mbeumo yang terkena tiang.

Akhirnya, muncul hero baharu, Kobbie Mainoo yang menjaringkan gol kemenangan 3-2 pada minit ke-77 menerusi rembatan padu.

Menariknya, Mainoo sebelum ini merajuk dan meminta untuk berpindah selepas diperam di bangku simpanan oleh Amorim yang menyatakan dia tidak sesuai dengan sistemnya.

Namun, kehadiran Carrick mengembalikan senyuman Mainoo apabila sentiasa berada dalam kesebelasan utama sehingga menandatangani kontrak baharu lima tahun untuk kekal bersama United sehingga Jun 2031.

Dia terus menunjukkan bakatnya mengemudi jentera tengah bersama Casemiro dan jaringan kemenangan penting itu adalah pelengkap kepada kerjaya yang semakin menyinar.

Buat penyokong United, kita nikmati dua kemenangan semusim ke atas Liverpool, apatah lagi tempat ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan sudah terjamin.

Biarlah penyokong Liverpool terus beralasan modal lapuk dan meratib kemenangan 7-0 pada 2023, kerana yang penting United lebih baik daripada mereka musim ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top