Walaupun terdapat babak intim dalam filem terbaharunya, pengarah dan penerbit filem Killmaster, Julian Cheah menegaskan karya itu tetap mendapat kelulusan penuh daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) tanpa sebarang potongan.
Julian yang turut membintangi naskhah berkenaan berkata, pihak LPF bukan sahaja meluluskan filem itu, malah telah menetapkannya dengan klasifikasi P16, iaitu sesuai untuk tontonan mereka berusia 16 tahun ke atas.
“Killmaster diluluskan seratus peratus tanpa sebarang suntingan. Babak intim yang ada telah melalui penelitian LPF dan semuanya melepasi tapisan.
“LPF juga memberikan klasifikasi P16, jadi hanya penonton berumur 16 tahun ke atas dibenarkan menonton,” jelasnya.

Julian berkongsi perkara itu sewaktu ditemui pada tayangan perdana Killmaster di TGV Suria KLCC baru-baru ini.
Menurutnya, Killmaster bukan sekadar mengisahkan dunia seorang perisik, sebaliknya turut menawarkan pengalaman sinematik yang penuh glamor dan keindahan visual.
“Killmaster tidak hanya mengangkat kisah perisik, tetapi sebuah karya yang meraikan keindahan sinema.
“Saya mahu menawarkan sesuatu yang berbeza daripada filem aksi penuh ganas yang mendominasi pasaran kini, dengan membawa kembali keajaiban, gaya dan kehalusan yang pernah digemari penonton era lalu,” katanya.

Penggambaran filem ini bukan sahaja dilakukan di Malaysia, malah turut berlangsung di sebuah pulau eksotik di Ibiza, Sepanyol.
Jalan ceritanya menyorot pengembaraan mendebarkan seorang ejen rahsia Asia, Alex Wong yang dikenali dengan kod nama Killmaster kerana kepakarannya menyingkirkan ancaman global. Dalam misi terbaharunya, Alex bergerak dari Asia ke Eropah sebelum bertembung dengan seorang tokoh berkuasa di Sepanyol.
Terinspirasi daripada era klasik perfileman, Killmaster berusaha menghidupkan kembali daya tarikan filem James Bond era Roger Moore, selain menampilkan pesona elegan ala To Catch a Thief.
Selain Julian, filem ini turut menampilkan Monica de Caro sebagai teraju utama wanita. Keserasian mereka di layar membangkitkan nostalgia kepada kemewahan sinema era lampau.
Melengkapkan lagi pengalaman menonton, skor muzik Killmaster dihasilkan sebagai penghormatan kepada legenda John Barry, komposer yang sinonim dengan identiti filem Bond pada era 1960-an dan 1970-an.




