6 individu didakwa jadi 'keldai akaun' babit kerugian hampir RM200,000

6 individu didakwa jadi 'keldai akaun' babit kerugian hampir RM200,000

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Enam individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan berkaitan keldai akaun kepada sindiket penipuan pinjaman, pelaburan dan pekerjaan tidak wujud membabitkan kerugian berjumlah RM192,084.

Tertuduh, Muhammad Aiman Firdaus Sezaini, 21; Fadzil Abd. Aziz, 54; Eric Yeremia Kong, 27, dan Sarawut Chaorai, 34, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee dan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Muhammad Aiman, Fadzil dan Sarawut masing-masing didenda RM1,000 manakala Yeremia Kong didenda RM450 dan boleh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Menurut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa secara tidak jujur menolong mengalihkan harta mangsa berjumlah antara RM384 hingga RM2,500.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa lokasi di Seri Alam, Johor Jaya dan Ulu Tiram, di sini antara 18 Jun hingga 19 Oktober 2025.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Noor Shafiqah Zulaikha Abdul Halim, 22, dan Yap Kay Soon, 50, mengaku tidak bersalah menggunakan akaun bank syarikat membabitkan transaksi berjumlah RM157,000 dan RM30,000 tanpa tujuan yang sah dan menyalahgunakan untuk kegunaan sendiri.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Ulu Tiram antara 18 Disember 2023 hingga 29 Jun 2025 didakwa mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Noor Shafiqah boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM150,000 atau kedua-duanya sekali manakala Kay Soon dihukum dengan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina dan Nurul Syafiqah Sha’ari manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Noor Shafiqah dan Kay Soon masing-masing diikat jamin RM5,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Julai depan sebagai sebutan semula kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top