lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Misi mencari dan menyelamat pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah sejak 24 Mei lalu diteruskan, namun dalam skala kecil bermula esok.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, perkara itu diputuskan selepas mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Pegawai Daerah Tapah dan dihadiri pelbagai agensi penyelamat jam 2 petang tadi.
“Kita memutuskan agar SAR diteruskan dalam skala kecil, ia tidak dihentikan dan penyelarasannya akan diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Bagaimanapun, polis akan jalankan siasatan lanjut, kita akan rakam percakapan rakam 14 rakan mangsa yang terbabit dalam pendakian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, hari ini.
Beliau berkata, seramai 116 anggota penyelamat dari pelbagai agensi termasuk polis, JBPM, Jabatan Pertahanan Awam (APM) dan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor terbabit sepanjang 11 hari operasi SAR sejak 24 Mei lalu.
Katanya, antara faktor dipertimbangkan dalam mengecilkan skala SAR adalah faktor keselamatan anggota penyelamat dan carian yang hampir meliputi keluasan kawasan.
“95 peratus daripada keseluruhan keluasan Gunung Batu Putih, kita sudah cari dengan pelbagai kaedah digunapakai.
“Sepanjang 11 hari operasi SAR, lima anggota JBPM dan empat anggota Batalion 3 mengalami kecederaan, ini salah satu aspek diambil kira (supaya skala SAR dikecilkan),” katanya.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti.
Bagaimanapun, Jaslinda kemudian dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi, 24 Mei.
© New Straits Times Press (M) Bhd




