6 termasuk bayi maut dalam kemalangan di Semporna-Tawau

6 termasuk bayi maut dalam kemalangan di Semporna-Tawau

am@hmetro.com.my

Semporna: Enam termasuk ibu bersama bayi lelakinya dan kanak-kanak perempuan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kalumpang, Semporna-Tawau, dekat sini, petang tadi.

Difahamkan, kemalangan kira-kira jam 4.50 petang itu membabitkan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu D-max dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Inova masing-masing dinaiki empat individu.

Manakala kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki membawa enam penumpang iaitu masing-masing seorang wanita bersama bayi lelakinya, dua lelaki dewasa dan seorang wanita warga warga emas serta seorang kanak-kanak perempuan.

Setakat ini, kesemua enam mangsa yang meninggal dunia dan seorang lagi yang cedera adalah penumpang kereta Proton Wira namun maklumat lengkap identiti mereka belum diperoleh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan nahas itu pada jam 4.58 petang sebelum sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 35 kilometer.

“Sebaik tiba, didapati seramai 15 orang mangsa terlibat dengan enam daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan selain seorang lagi cedera.

“Empat orang mangsa dalam kenderaan Isuzu D-Max dan empat orang mangsa dalam Toyota Innova tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada 7.16 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top