6,000 pelajar dijangkiti influenza, warga sekolah disaran pakai pelitup muka

6,000 pelajar dijangkiti influenza, warga sekolah disaran pakai pelitup muka

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kira-kira 6,000 murid dan pelajar sekolah dikesan dijangkiti virus influenza setakat ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata, susulan itu, beberapa sekolah melaksanakan arahan penutupan sementara atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi memantau perkembangan jangkitan berkenaan selain akur jika ada sekolah perlu ditutup demi keselamatan pelajar dan warga sekolah.

“Kita sudah minta pegawai di peringkat Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk bersiap sedia kerana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia akan bermula pada 3 November nanti.

“(Setakat ini) kira-kira 6,000 pelajar dikenal pasti berhadapan dengan jangkitan influenza. Namun kes itu tidak tertumpu di satu kawasan sahaja, sebaliknya melibatkan sekolah di beberapa negeri,” katanya pada sidang media khas di KPM, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Johor antara negeri yang terbabit dengan penularan influenza dan penutupan sekolah.

“Tidak semua sekolah dengan kes influenza perlu ditutup. Ada yang hanya perlu memberikan cuti sakit kepada pelajar terlibat sahaja,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Azam menyarankan semua institusi pendidikan untuk merujuk garis panduan pengurusan penyakit berjangkit serta melaporkan terus kepada pejabat kesihatan.

Katanya, pelajar dan warga sekolah digalakkan untuk menggunakan pelitup muka selain mengurangkan aktiviti membabitkan interaksi secara ramai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top