6,252 kembali kepada UMNO: KJ, Hishamuddin dan Syed Hamid Albar antara diterima

6,252 kembali kepada UMNO: KJ, Hishamuddin dan Syed Hamid Albar antara diterima

MELAKA: Tiga bekas menteri iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Syed Hamid Albar merupakan antara 6,252 bekas pimpinan serta ahli di peringkat bahagian dan cawangan UMNO seluruh Malaysia yang diterima semula di bawah inisiatif Rumah Bangsa.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan tersebut diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam ini.

“Mesyuarat MKT bersetuju menerima semua permohonan yang dikemukakan secara rasmi tanpa dikenakan sebarang syarat, termasuk tokoh-tokoh utama dan ribuan bekas ahli di seluruh negara.

“MKT membuat keputusan menurunkan kuasanya kepada Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Kuasa itu diturunkan agar perkara ini boleh dipercepatkan dan dipermudahkan untuk mereka-mereka yang nak masuk lagi lepas pada ini, jadi tak perlu tunggu MKT akan datang baru nak diluluskan.

“Maknanya atas semangat Rumah Bangsa, kita mengalu-alukan semua sekalilah termasuk juga ahli-ahli baru melalui pendaftaran secara online ataupun atas talian Ini akan kita buat secara besar-besaran bermula Isnin ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini sebentar tadi.

Asyraf Wajdi berkata, MKT turut membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara dalam talian bagi mempermudah kemasukan ahli baharu terutama dalam kalangan anak-anak muda bermula Isnin ini.

Beliau berkata, UMNO menerima banyak permintaan daripada anak-anak muda sepanjang dua minggu ini apabila Pergerakan Pemuda menerima kira-kira 1,300 permohonan manakala Pergerakan Puteri lebih 1,500 permohonan.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh saf perjuangan parti dan memastikan UMNO terus kekal relevan serta inklusif,” ujarnya.

Katanya, langkah itu dilihat sebagai strategi penting dalam mengembalikan kekuatan parti serta memperkukuh kesatuan menjelang cabaran politik akan datang. – UTUSAN

Scroll to Top