London: Chelsea mengumumkan pemain tengah mereka, Moises Caicedo menandatangani lanjutan kontrak sehingga 2033, sekali gus mengukuhkan masa depannya di Stamford Bridge.
Pemain Ecuador itu sebelum ini menyertai Chelsea dari Brighton & Hove Albion pada 2023 dengan nilai perpindahan £115 juta (RM616 juta), yang ketika itu mencipta rekod British.
“Saya percaya dengan pasukan ini dan arah tuju kelab. Kami baru bermula.
“Saya mahu menang lebih banyak trofi bersama Chelsea dan beri segalanya untuk kelab serta penyokong. Impian saya adalah menjadi legenda Chelsea,” katanya.
Selepas permulaan sukar di bawah Mauricio Pochettino, prestasi Caicedo mula meningkat sejak kehadiran Enzo Maresca pada 2024.
Di bawah Maresca, dia beraksi sebagai pemain tengah utama yang mengawal tempo permainan selain melindungi benteng pertahanan.
Musim cemerlang itu turut menyaksikan Chelsea menjulang Liga Konferens dan Piala Dunia Kelab, dengan Caicedo meraih anugerah Pemain Terbaik Kelab serta pilihan pemain.
Setakat musim ini, dia sudah membuat lebih 40 penampilan dalam semua kejohanan dan turut beberapa kali menggalas tugas kapten, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain paling konsisten dalam skuad The Blues.
© New Straits Times Press (M) Bhd




