bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Seramai 644 individu ditahan kerana mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 614 individu dikenakan kompaun, manakala 30 lagi direman.
“Kegagalan merekod butiran diri dan mendaftar ketika memasuki premis mencatat jumlah kesalahan tertinggi dengan 218 kes.
“Kesalahan lain direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (126), tiada penjarakan fizikal (103), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (102), rentas negeri serta daerah tanpa kebenaran (lima) dan lain-lain kesalahan (90),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pasukan petugas Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 70,849 pemeriksaan, semalam.
“Sebanyak 3,731 Pasukan Pematuhan membabitkan 15,206 anggota melakukan pemantauan di 4,402 pasar raya, restoran (4,953), kilang (2,439), bank (3,934), pejabat kerajaan (870) dan penjaja (2,096).
“Yang turut dipantau, pasar awam dan tani (1,857), tempat ibadah (3,113), tempat riadah (1,718), terminal pengangkutan darat (2,079), terminal pengangkutan air (360) dan terminal pengangkutan udara (143),” katanya.
Seterusnya, Ismail Sabri berkata, 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan tiga kenderaan darat dirampas melalui Operasi Benteng (Op Benteng).
“Sebanyak 169 bot dan kapal dikesan di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan, semalam.
“PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dengan dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut menjalankan 482 sekatan jalan raya menerusi Op Benteng, semalam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd