68,028 batang rokok putih, kretek dirampas di Taman Batu Muda

68,028 batang rokok putih, kretek dirampas di Taman Batu Muda

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 68,028 batang rokok putih dan kretek tidak berkastam dirampas dalam Operasi Bersepadu KL Strike Force di Taman Batu Muda, di sini, hari ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan, operasi bersepadu terbabit dilaksanakan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang menumpukan pemeriksaan terhadap premis perniagaan dikendalikan warga asing, penjaja tanpa lesen serta barangan tanpa bayaran cukai atau duti eksais.

Katanya, pihak JKDM mengeluarkan dua notis di bawah kesalahan tidak membayar cukai dan duti kastam serta merampas semua rokok berkenaan.

“Nilai cukai dan duti dianggarkan berjumlah RM60,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut DBKL, pihaknya turut menutup serta merta dua premis tanpa lesen yang dikendalikan warga asing dan mengeluarkan enam notis kompaun atas pelbagai kesalahan am termasuk premis tiada lesen perniagaan.

“Sementara itu, JIM memeriksa dan menangkap 14 warga asing atas kesalahan menyalah guna permit kerja dan tinggal melebihi masa yang ditetapkan.

“Kesemua warga asing terbabit sudah dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur bagi semakan dokumentasi dan rekod,” katanya.

Dalam pada itu, DBKL memaklumkan akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari masa ke masa.

“Sebarang aduan atau maklum balas, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan tertera seperti berikut https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top