7 guru antara terlibat, PIBG perjelas aktiviti perkhemahan bukan anjuran sekolah

7 guru antara terlibat, PIBG perjelas aktiviti perkhemahan bukan anjuran sekolah

Aktiviti perkhemahan yang diadakan di Father’s Organic Farm di Jalan Genting- Batang Kali dekat Kuala Kubu Bharu ternyata bukanlah aktiviti rasmi dianjurkan oleh pihak sekolah.

Menurut DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SJKC Mun Choong, Jalan Ipoh, iaitu U Chin Ong memberitahu pihak sekolah tidak dimaklumkan mengenai penganjuran perkhemahan tersebut.

Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai perkhemahan itu pada awal pagi tadi apabila mendapat panggilan daripada salah seorang suami mangsa yang memaklumkan isterinya terperangkap dalam insiden tanah runtuh.

Katanya, aktiviti perkhemahan yang dihadiri oleh tujuh guru wanita bersama 16 lagi ahli keluarga dan rakan adalah anjuran mereka, bukannya sekolah.

“Ini bukan aktiviti anjuran sekolah atau PIBG, ia program anjuran bersama rakan-rakan.
“Mereka dipercayai berkhemah di kawasan itu sejak Rabu lalu, kami juga (PIBG) baru diberitahu hari ini berhubung aktiviti ini,”katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Tambah Chin Ong, dia dimaklumkan mereka menyertai aktiviti perkhemahan sejak Rabu lalu dan sepatutnya berangkat pulang pukul 10 pagi hari ini.

Sementara itu, Chin Ong berkata, setakat ini dua guru ditemui selamat manakala nasib lima lagi guru masih belum diketahui setakat 6.30 petang tadi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan berkenaan akan diteruskan selama 24 jam.

Sumber: Harian Metro (Hafidzul Hilmi Mohd Noor)

Scroll to Top