7 janin dalam kotak ditemui tuan bilik, penyewa wanita kantoi terlanjur sejak 2012

7 janin dalam kotak ditemui tuan bilik, penyewa wanita kantoi terlanjur sejak 2012

Berdasarkan undang-undang, tindakan menggugurkan atau membunuh kandungan adalah satu kesalahan jenayah. Suspek bertindak seperti itu atas beberapa faktor akibat kehamilan luar nikah.

Hari ini, media Indonesia melaporkan berhubung penemuan tujuh janin bayi yang disimpan dalam sebuah kotak di satu daerah di Kecamatan Biringakanaya, Makassar pada Sabtu lalu.

Menurut laporan Tribun News, semua janin tersebut ditemukan dalam sebuah bilik yang disewa oleh seorang wanita dinamakan sebagai NM sejak enam bulan lalu.

Selepas keluar kerana tidak mampu membayar sewa, pemiliknya Nulfah Anugrahwaty yang datang bagi membersihkan bilik itu terhidu bau kurang menyenangkan sebelum menemui kotak berkenaan.

Hasil siasatan mendapati, wanita berusia 26 tahun yang sudah ditahan polis itu telah menggugurkan kandungan sejak tahun 2012 selepas berkali-kali terlanjur dengan teman lelakinya.

Ketua Polis Daerah terbabit, Budi Haryanto berkata, perbuatan menggugurkan kandungan sejak 10 tahun lalu itu dilakukan di lokasi berbeza dan terbaru adalah pada Januari lalu.

Difahamkan, suspek mengaku meminum sejenis ramuan yang boleh menggugurkan janin sebelum bertindak menyimpan dalam kotak berkenaan.

Bagaimanapun, memetik laporan Coconuts Jakarta pula, polis masih mengenal pasti sebab suspek menyimpan janin yang digugurkan di dalam biliknya berbanding menanam di lokasi tertentu.

Sumber: Tribun News , Coconuts Jakarta