syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiga tahun selepas mencuri perhatian ramai dengan aksi ‘roti canai terbang’, Adli Nur Iman Ahmad bukan sekadar mahir menebar doh, malah mampu menyediakan sendiri hidangan itu daripada proses menguli sehingga menghidangkan kepada pelanggan.
Kanak-kanak berusia 12 tahun itu bagaimanapun, membuktikan minat membantu ibu bapanya di kedai makan setiap hujung minggu dan cuti sekolah tidak pernah mengganggu pelajaran apabila memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) tahun lalu.
Ibunya, Noor Diana Ismail, 42, berkata, Adli Nur Iman yang kini berada di Tahun Enam juga berada di kelas kedua terbaik daripada 11 kelas di sekolahnya selain aktif mewakili sekolah dalam bidang sukan.
Katanya, sejak kecil mereka memastikan minat anak tunggal lelaki itu terhadap kemahiran menebar roti canai sentiasa seiring dengan pencapaian akademik.
“Ramai yang tinggalkan komen suruh adik fokus belajar sahaja, tetapi bagi kami, menebar roti canai ini adalah hobi yang dia minat.
“Jangan pandang budak yang bantu keluarga ini dipaksa… ini memang suka rela, benda yang dia suka. Sebagai ibu bapa kami tak boleh halang minat anak-anak.
“Pelajaran tetap kami pantau dan kami pastikan dia tidak mengabaikan akademik walaupun dia minat membantu di kedai,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Noor Diana, minat Adli Nur Iman yang turut dikenali sebagai ‘Adik Terbang’ bermula ketika berusia tujuh tahun apabila kerap mengikut bapanya berniaga sebelum bermain dengan doh yang disediakan untuk jualan keesokan hari.
Katanya, melihat kesungguhan anaknya itu, bapanya kemudian menghasilkan kain berbentuk doh sebagai medium latihan sebelum Adli Nur Iman berjaya menguasai teknik menebar roti canai dalam tempoh kira-kira dua bulan.
“Sejak berusia tujuh tahun hingga sekarang, setiap kali hujung minggu atau cuti sekolah dia memang akan datang membantu di kedai. Dia tak pernah mengeluh penat walaupun perlu mengimbangi urusan sekolah dan membantu kami berniaga.
“Malah dia juga pernah muncul juara pertandingan roti canai terbang. Sebagai ibu, saya bersyukur kerana minat dan pelajarannya berjalan seiring,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Diana berkata, kehadiran Adli Nur Iman di kedai makan keluarga turut menjadi tarikan pelanggan sehingga ada yang sanggup datang dari luar negeri semata-mata mahu menyaksikan aksi menebar roti canainya.
“Ada pelanggan dari Johor datang khusus untuk melihat dia menebar roti canai sebelum menikmati hasil air tangannya.
“Selain itu, dia juga kerap menerima jemputan membuat persembahan di sekolah, sekolah berhampiran, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pelbagai acara lain kerana kemahiran yang dimilikinya,” katanya.
Katanya, walaupun mempunyai kemahiran itu, mereka tidak pernah memaksa Adli Nur Iman membantu di kedai kerana segala yang dilakukan adalah atas minat dan kerelaannya sendiri.
“Kalau ada rezeki masuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau belajar jauh, sekurang-kurangnya dia ada satu kemahiran yang boleh digunakan untuk mencari pendapatan sambilan dan berdikari tanpa terlalu bergantung kepada ibu bapa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




