New York: Di sebalik kejayaan pasukan Amerika Syarikat (AS) mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026, muncul seorang individu yang memainkan peranan besar di luar padang iaitu pelabur bilionair, Ken Griffin.
Griffin yang terkenal sebagai pengasas firma dana lindung nilai Citadel serta peminat tegar bola sepak, dilaporkan menjadi penyumbang kewangan terbesar bagi membolehkan jurulatih dari Argentina, Mauricio Pochettino, dilantik sebagai pengendali skuad kebangsaan AS hampir dua tahun lalu.
Jurucakap Citadel mengesahkan Griffin membantu membiayai pelantikan Pochettino yang sebelum ini pernah mengendalikan Tottenham Hotspur, Paris Saint-Germain (PSG) dan Chelsea.
Pochettino diberi tanggungjawab membina semula skuad AS selepas kegagalan memalukan tersingkir seawal peringkat kumpulan Copa America 2024.
Hasil sentuhan bekas pengendali Chelsea itu kini mula membuahkan hasil apabila AS berjaya melangkah ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026.
AS dijadual bertemu Bosnia Herzegovina pada aksi pusingan 32 terbaik, 1 Julai ini.
Kejayaan skuad kendalian Pochettino turut mencetuskan fenomena luar biasa apabila ramai pengurus portfolio, pegawai bank serta peguam dari Wall Street sanggup terbang ke seluruh negara bagi menyaksikan perlawanan AS secara langsung.
Malah, beberapa daripada mereka turut memaklumkan rakan sekerja supaya tidak menghubungi mereka sepanjang tempoh tiga jam ketika perlawanan berlangsung.
Griffin, 57, mula bermain bola sepak ketika berusia enam tahun, pernah mewakili pasukan sekolah menengah yang muncul naib juara peringkat negeri sebelum terus aktif sebagai pemain dan jurulatih ketika dewasa.
Bagaimanapun, jumlah sebenar sumbangan Griffin bagi mendapatkan khidmat Pochettino tidak didedahkan.
Citadel yang berpangkalan di Miami kini menguruskan aset bernilai AS$68 bilion (kira-kira RM289 bilion) dan dinamakan sebagai dana lindung nilai paling menguntungkan di dunia buat tahun keempat berturut-turut pada 2025 oleh LCH Investments.
Dana utama syarikat itu, Wellington Multi-Strategy Fund, turut mencatatkan pulangan lima peratus setakat 22 Jun lalu.
Selain dunia pelaburan, Griffin juga dikenali sebagai tokoh dermawan apabila sudah menyumbangkan lebih AS$2.5 bilion (RM10.7 bilion) kepada pelbagai bidang termasuk penyelidikan perubatan, kempen politik serta institusi pendidikan.
Minat mendalam terhadap bola sepak turut diterjemahkan menerusi sumbangan AS$3 juta (RM12.8 juta) kepada Yayasan Bola Sepak Amerika Syarikat pada 2017 bagi membina 50 padang mini di sekitar Chicago.
Enam tahun kemudian, beliau menyumbang lagi AS$5 juta (RM21.4 juta) bagi membangunkan 50 padang mini di Miami-Dade County, Florida, yang kini menjadi lokasi ibu pejabat Citadel.
Griffin sebelum ini pernah menyatakan bahawa bola sepak mampu membentuk semangat berpasukan, disiplin dan memberikan kegembiraan menerusi persaingan sihat.
Sempena Piala Dunia 2026, Griffin bersama pemaju hartanah Stephen Ross turut menaja lebih 1,200 keping tiket kepada penduduk Miami bagi memberi peluang mereka menyaksikan aksi Piala Dunia di bandar itu yang menjadi antara tuan rumah kejohanan.
“Ia pengalaman yang cukup istimewa apabila Piala Dunia dianjurkan di Amerika. Saya dan anak-anak turut menikmati aksi di Miami pada Hari Bapa apabila Uruguay seri 2-2 dengan Cape Verde,” kata Griffin kepada Reuters.
© New Straits Times Press (M) Bhd




