7 pengunjung konsert Pinkfish ambil pil ekstasi, termasuk 4 yang maut

7 pengunjung konsert Pinkfish ambil pil ekstasi, termasuk 4 yang maut

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Siasatan awal polis mendapati mangsa yang menghadiri konsert ambang tahun baharu, Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway di sini, mengambil pil ekstasi.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini pihaknya menerima enam laporan polis daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Kedua-dua hospital ini menerima tujuh pesakit yang mengalami simptom yang sama.

“Empat daripada mereka meninggal dunia seperti dilaporkan sebelum ini manakala dua lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang lagi sudah discaj dari hospital.

“Semua mangsa tidak hadir bersama-sama di konsert berkenaan tetapi hadir secara berasingan dengan kawan-kawan dan ahli keluarga masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, setakat ini seramai enam individu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

“Beberapa pihak lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan termasuk penganjur konsert dan rakan-rakan mangsa.

“Hasil siasatan awal mengesahkan semua ketujuh-tujuh mangsa menghadiri konsert berkenaan dan ada mengambil pil jenis ekstasi,” katanya.

Katanya, polis masih menunggu laporan analisis toksikologi untuk mengesahkan perkara itu termasuk punca kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Ridzal Puat di talian 03-56382122 atau mana-mana balai berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top