7 platform perkhidmatan gig belum laksana proses daftar maklumat pekerja – PERKESO

7  platform perkhidmatan gig  belum laksana proses daftar maklumat pekerja – PERKESO

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Ampang: Tujuh daripada 14 penyedia platform perkhidmatan gig masih belum melaksanakan proses pendaftaran maklumat pekerja dan caruman automatik berkadar 1.25 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, setakat semalam, tujuh platform penyedia perkhidmatan gig selesai melaksanakan proses pendaftaran.

“Tujuh penyedia platform ini meliputi Airasia Ride Sdn Bhd, Kiddocare, Eternal Meteor Sdn Bhd (GOGET), ShopeeFood Malaysia, Troopers Innovation Sdn Bhd, Fastgig Sdn Bhd dan Delivery Hero Malaysia (Foodpanda) Sdn Bhd.

“Hanya Fastgig Sdn Bhd selesai melengkapkan kedua-dua proses, justeru pekerja gig yang berkhidmat menerusi platform mereka sudah mula melakukan caruman PERKESO secara automatik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ziarah Prihatin Ke Rumah Orang Berinsurans di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman turut mempersoalkan mengapa tujuh lagi penyedia platform perkhidmatan gig ini masih belum memberikan maklumat pekerja mereka kepada PERKESO.

“Apa susah sangat? Apa alasan mereka? Kebajikan pekerja tidak penting ke?” soalnya.

Menurutnya, tindakan tujuh penyedia platform perkhidmatan gig ini yang masih belum memberikan maklumat pekerja menyebabkan PERKESO sukar untuk membantu mereka.

“Ia tidak adil kepada pekerja gig ini jika berlaku kemalangan atau kematian kerana kita tiada maklumat dan kita tak dapat nak proses (bantuan diberikan),” katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, pemandu e-hailing, Jailani Sapiih, 41, yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) yang mengakibatkan penumpang warga Bangladesh meninggal dunia, 23 April lalu layak menerima beberapa faedah daripada PERKESO.

Katanya, walaupun semakan awal status caruman LINDUNG Kendiri telah tamat sebelum kejadian, namun perlindungan di bawah Akta Pekerja Gig (Akta 872) tetap terpakai kerana platform mengesahkan Jailani sedang menjalankan aktiviti e-hailing ketika insiden berlaku.

Beliau berkata, Akta 872 yang mula berkuat kuasa pada 31 Mac lalu memperuntukkan setiap pekerja gig dilindungi melalui mekanisme caruman berasaskan transaksi platform.

“Dalam kes ini, PERKESO telah memproses Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) berdasarkan tempoh cuti sakit selama 41 hari, dari 23 April hingga 2 Jun 2026 berjumlah RM1,230.

“Selain itu, bantuan peralatan pemulihan disalurkan termasuk kerusi roda yang dibekalkan melalui Skim LINDUNG Kendiri bagi membantu proses pemulihan harian mangsa, berikutan kecederaan pada

bahagian kepala, kaki dan dada.

“Semua ini mencerminkan prinsip utama keselamatan sosial di bawah Akta 872 kerana matlamat utamanya adalah untuk melindungi nyawa dan memperuntukkan gantian pendapatan sekiranya ditimpa bencana sewaktu bekerja,” katanya.

Sementara itu, Jailani menyatakan dengan adanya pakej LINDUNG Kendiri inj membolehkannya mendapat bantuan daripada PERKESO, selain dapat meringankan bebannya yang masih dalam tempoh cuti sakit.

“Tak ada orang yang minta kemalangan. Tapi alhamdulillah dengan adanya pakej ini, saya dapat bantuan sedikit daripada pihak PERKESO.

“Sekurang-kurangnya ada perlindungan yang kita terima,” katanya sambil menambah mengalami retak kaki kiri akibat kemalangan itu.

Jailani berkata, pakej LINDUNG Kendiri ini juga sangat penting kepada pemandu e-hailing sepertinya.

Dia dalam masa sama turut menyatakan akan menyambung perkhidmatan e-hailing, selepas sembuh sepenuhnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top