9 kawasan lapang di ibu negara diwartakan demi pembangunan seimbang

9 kawasan lapang di ibu negara diwartakan demi pembangunan seimbang

PETALING JAYA: Sembilan lagi kawasan lapang sekitar Kuala Lumpur akan diwartakan bagi memastikan pembangunan bandar dilaksana secara seimbang tanpa mengorbankan kawasan rekreasi awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pewartaan baharu itu dilaksanakan Jabatan Wilayah Persekutuan dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, membabitkan keluasan keseluruhan 5.15 hektar atau 51,502 meter persegi.

Beliau berkata, dengan pertambahan itu, sebanyak 552 lot kawasan lapang kini diwartakan di Kuala Lumpur, meliputi keluasan keseluruhan 468.36 hektar atau 4.68 juta meter persegi, bersamaan kira-kira 655 padang bola sepak atau hampir 1.4 kali ganda keluasan Taman Botani Perdana.

“Pewartaan bukan sekadar proses pentadbiran. Langkah ini memperkukuh perlindungan terhadap kawasan lapang supaya terus kekal sebagai ruang awam untuk aktiviti rekreasi, riadah dan kegunaan komuniti, selain mengurangkan risiko kawasan itu terdedah kepada penukaran guna tanah pada masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sembilan kawasan lapang baharu yang diwartakan ialah Lot 82448 Mukim Batu, berhampiran Kolam Desa ParkCity (6,607 meter persegi atau 1.632 ekar); Lot 82443 Mukim Batu, berhampiran Kolam Desa ParkCity (22,000 meter persegi atau 5.436 ekar); Lot 202030 Mukim Setapak, berhampiran Bayu Sentul Kondominium (13,882 meter persegi atau 3.430 ekar) dan Lot 38500 Mukim Petaling, berhampiran Residensi Jalil Mas (529 meter persegi atau 0.130 ekar).

Turut diwartakan Lot 25119 Mukim Setapak, berhampiran Masjid Salahuddin Al-Ayubbi, Taman Melati (1,456 meter persegi atau 0.359 ekar); Lot 39399 Mukim Petaling, berhampiran Kondominium East Bukit Jalil (1,658 meter persegi atau 0.409 ekar); Lot 39397 Mukim Petaling, berhampiran Kondominium East Bukit Jalil (185 meter persegi atau 0.045 ekar); Lot 56219 Mukim Batu, berhampiran United Point Mall (3,679 meter persegi) dan Lot 482950 Mukim Kuala Lumpur, berhampiran Padang TURF Tasik Permaisuri (1,505 meter persegi atau 0.371 ekar).

Hannah berkata, orang ramai boleh menyemak maklumat dan senarai kawasan lapang yang telah diwartakan menerusi portal MyHijau di laman sesawang rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan bagi membolehkan warga Kuala Lumpur turut memantau dan mempertahankan kawasan hijau di bandar raya itu.

“Pewartaan sembilan kawasan baharu ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Madani untuk memastikan pembangunan Kuala Lumpur dilaksanakan secara seimbang, tanpa mengorbankan ruang rekreasi awam, kesejahteraan komuniti dan daya tahan iklim bandar,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top