lizamridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pertambahan model kenderaan elektrik (EV) yang dipasang secara tempatan (CKD) tidak semestinya membawa nilai tambah besar buat negara sekiranya majoriti komponen yang digunakan masih diimport.
Pakar ekonomi dan akademik, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata, nilai tambah buat negara adalah kecil kerana 90 peratus komponen untuk EV masih diimport.
“Biasanya 90 peratus komponen diimport. Jadi hanya pemasangan dibuat di Malaysia. Nilai tambah adalah sangat kecil,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, kerajaan perlu meningkatkan tahap CKD melalui penggunaan lebih banyak komponen tempatan, kajian dan pembangunan (R&D) serta pembangunan teknologi supaya aktiviti pemasangan berkembang menjadi ekosistem industri sebenar.
“Kita boleh juga menentukan CKD tahap tinggi. Sebahagian komponen dibuat oleh vendor tempatan yang dihasilkan melalui R&D tempatan yang secara tidak langsung meningkatkan nilai tambah,” katanya.
Barjoyai berkata, kejayaan dasar EV seharusnya diukur melalui pemindahan teknologi, vendor tempatan berdaya saing, pekerjaan berkemahiran tinggi, R&D serta eksport komponen dan kenderaan.
“Matlamat akhir bukan hanya CKD tetapi membina keseluruhan ekosistem industri automotif,” katanya.
Beliau mencadangkan kandungan import dikurangkan secara berperingkat supaya nilai tambah tempatan meningkat, misalnya daripada 95 peratus komponen import kepada 70 peratus selepas setahun, 50 peratus selepas dua tahun dan 30 peratus selepas tiga tahun.
Pada masa sama, Barjoyai berkata, kepentingan pengguna tidak boleh diketepikan kerana EV yang ditawarkan pada harga lebih rendah boleh meningkatkan kemampuan memiliki kenderaan.
“Kalau ada EV daripada China yang harganya RM10,000 atau RM20,000 yang hendak masuk ke Malaysia, biarlah ia masuk kerana ia akan memenuhi permintaan kumpulan pengguna berpendapatan rendah,” katanya.
Barjoyai mencadangkan pendekatan berperingkat, iaitu membenarkan kemasukan EV CBU berharga rendah sehingga mencapai tahap tertentu sebelum tumpuan dialihkan kepada penggalakan CKD, sambil memantau reaksi pengeluar automotif nasional.
Mengulas potensi ancaman harga EV China terhadap pasaran tempatan, Barjoyai berkata, sesetengah model EV di China dijual pada harga kurang RM5,000 seunit, jauh lebih rendah berbanding EV termurah di Malaysia yang ditawarkan sekitar RM60,000.
Namun, katanya persaingan harga sedemikian tidak berlaku secara terus di pasaran tempatan kerana sistem kuota dan tarif import Malaysia turut mengehadkan harga jualan minimum bagi kenderaan itu.
“Walaupun ia boleh masuk ke Malaysia, ia terpaksa dijual pada harga minimum kerana kita ada tarif yang menyebabkan harga rendah itu menjadi sedikit tinggi,” katanya.
Mengenai kesan kepada Proton dan Perodua sekiranya pasaran EV China berharga rendah dibuka sepenuhnya, Barjoyai berkata, kesannya tidak ketara dalam jangka pendek kerana kedua-dua pengeluar nasional itu masih pada peringkat awal pembangunan teknologi EV dan belum benar-benar bersaing dalam segmen berkos rendah, dengan pengeluaran EV masing-masing setakat ini hanya sekitar 5,000 hingga 10,000 unit.
Katanya, kerugian sebenar lebih kepada kehilangan potensi pasaran EV pada masa depan berbanding kehilangan pasaran sedia ada.
Beliau berkata, insentif EV selepas 2027 juga wajar mengambil kira nilai tambah sebenar bagi memastikan manfaat pelaburan mengalir kepada industri tempatan.
“Mana-mana nilai tambah yang kita dapat daripada proses ini perlu diambil kira dalam menentukan insentif ataupun keistimewaan yang kita beri kepada pengeluar,” katanya.
Barjoyai berkata, Malaysia akhirnya perlu menyasarkan kedudukan sebagai pusat teknologi dan eksport EV serantau, bukan sekadar menjadi pasaran atau lokasi pemasangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
